"Jalan di Sabah, keadaannya terlalu teruk, adakah terdapat jenis penyelenggaraan bagi jalan Persekutuan dan jalan di Semenanjung dan Sabah.
"Ini disebabkan perbezaan sangat ketara. Jalan di Sabah keadaan terlalu teruk, orang bilang seperti berjalan di bulan, hari-hari kereta rosak," katanya di Parlimen.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam jawapannya mengakui situasi dihadapi di Sabah, malah beliau turun padang untuk melihat sendiri keadaan jalan di 25 Parlimen negeri itu.
Namun, beliau menjelaskan, penyelenggaraan dibuat mengikut kategori jalan tertentu dengan ada yang di bawah kerajaan Persekutuan, selain terdapat jalan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.
"Saya sudah pergi ke kebanyakan tempat di Sabah daripada bulan lima tahun lepas hingga November, enam bulan saya teroka 25 Parlimen di Sabah dan ketahui apa disebut Ahli Parlimen Kinabatangan, ada juga saya lihat jalan yang belum diturap.
"Untuk Sabah, bagi 2025, kerajaan memperuntukkan RM341.7 juta bagi penyelenggaraan jalan. Kita tahu jalan ini ada pelbagai jenis.
"Jalan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat ialah jalan persekutuan dan lebuh raya. Jalan negeri itu juga panjang, jalan bandaran juga di bawah kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan asal Zahari Kechik (Jeli) mengenai jumlah diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan raya mengikut negeri, Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), JKR Sabah dan JKR Sarawak bertanggungjawab menyelenggara jalan persekutuan sepanjang 18,705.930 kilometer (km).
Ia merangkumi 14,973.930 km di Semenanjung, 1,536.949 km di Sabah, 2,055.920 km (Sarawak) dan 139.131 km bagi Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, pada 2024 KKR memperuntukkan RM2.48 bilion bagi penyenggaraan rutin, penyenggaraan secara berkala pavemen, berkala bukan pavemen, penyenggaraan kecil jambatan serta penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat.
Sementara itu, katanya, pada 2025 ,KKR diperuntukkan sebanyak RM2.96 bilion, kenaikan sebanyak RM490 juta bagi kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi dan JKR melalui kaedah perolehan di peringkat jabatan.