Aidilfitri - APM guna dron dalam Op Prihatin 2

oleh Penyumbang Rencana|
foto Bernama
Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menggunakan 28 unit dron berteknologi tinggi bagi membantu penugasan Op Prihatin Siri 2 di seluruh negara sempena Aidilfitri, bermula hari ini hingga 6 April.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, akan ditempatkan dua unit dron bagi membantu pemantauan trafik dan bencana.

Menurutnya, teknologi itu membantu pihaknya mengawasi lalu lintas serta mengenal pasti lokasi kemalangan atau kecemasan dengan lebih pantas, termasuk kejadian tanah runtuh dan jalan rosak, sekali gus dapat menyelaras bantuan dengan lebih efisien.

“Dron juga berperanan dalam rondaan keselamatan, terutama di kawasan berisiko tinggi yang sukar diakses pasukan bertugas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin Siri 2 sempena Aidilfitri 2025 pada Rabu.

Beliau berkata, bagi memperkasakan penugasan Op Prihatin, pihaknya menempatkan beberapa anggota di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi latihan kecemasan serta penggunaan pemadam api kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Aminurrahim berkata pihaknya mengatur gerak seramai 15,000 anggota dan pegawai sukarelawan APM yang aktif serta bersedia menerusi inisiatif SIGAP dalam operasi berkenaan.

Katanya, inisiatif itu memberi peluang kepada sukarelawan yang kompeten untuk memberikan perkhidmatan bersifat gig, terutama membabitkan pengurangan risiko atau ancaman secara sementara mengikut keperluan semasa.

Katanya, antara penugasan APM dalam Op Prihatin adalah khidmat kemanusiaan seperti kes pokok tumbang, kemalangan jalan raya, rondaan di lokasi tumpuan, serta penyebaran ilmu pertahanan awam kepada komuniti.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
Sementara itu, Thailand bergantung kepada Dana Minyak Bahan Api (Oil Fuel Fund) bagi menampan harga…
Berita Domestik
Mengulas lanjut, katanya, dia sendiri tidak tahu dari mana ular itu muncul, namun mengesyaki ia…
Informasi
  Namun segala pengorbanan dan sifat terpuji beliau sehingga sanggup mengambil cuti kecemasan dan…