AirAsia tambah lebih lima juta tempat duduk bagi penerbangan China, India dan Malaysia

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
AirAsia mengumumkan langkah untuk memperluas perkhidmatannya yang meliputi China, India serta Malaysia dengan 230 penerbangan mingguan bagi suku pertama 2024 dan mencecah sehingga 5.2 juta tempat duduk setahun pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata peningkatan kapasiti menerusi AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia itu adalah sebagai reaksi terhadap jangkaan lonjakan permintaan perjalanan susulan pengumuman langkah kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk pengembara dari China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis, 2023.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Langkah itu juga sejajar dengan pengumuman baru-baru ini mengenai kelonggaran sekatan perjalanan bagi rakyat Malaysia ke China mulai 1 Disember depan.

"Kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India pasti menyuntik rangsangan ke atas pelancongan dan ekonomi Malaysia menjelang kemuncak musim perjalanan akan datang selain turut meningkatkan hubungan ekonomi antara negara-negara besar ini," kata Fernandes dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai penggiat utama dalam sektor penerbangan, AirAsia bersedia menambah kapasiti bagi menyokong permintaan terhadap perjalanan udara yang berpatutan serta mudah diakses di rantau ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Ltd Bo Lingam berkata pihaknya melihat langkah itu sebagai kesempatan untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau di dua pasaran terbesar berkenaan dan menjadi pemangkin untuk melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

"Dianggarkan 4.6 juta penumpang melakukan perjalanan menerusi rangkaian luas 26 laluan di China dan India pada 2024 dan kami bersedia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran pelancongan Malaysia iaitu 25 juta pelancong antarabangsa setahun," katanya.

Seiring dengan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia melakukan sebanyak 17 laluan dan 56 penerbangan seminggu ke negara itu dengan perkhidmatan Kuala Lumpur ke Guangzhou, Quanzhou, Kunming, Guilin.

Di India, kedua-dua syarikat penerbangan turut meningkatkan kekerapan perjalanan kepada sembilan laluan dengan sejumlah 74 penerbangan seminggu iaitu bagi AirAsia dari Kuala Lumpur ke Bengaluru, Kolkata, Cochin, Hyderabad, Chennai, Trichy, dan Trivandrum - destinasi baharu bermula Februari 2024.

Dalam pada itu, pihak kedutaan China di Malaysia turut mengumumkan bahawa warganegara Malaysia dengan pasport biasa memasuki China untuk tujuan perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga dan transit boleh menikmati perjalanan tanpa visa sehingga 15 hari mulai 1 Dis, 2023 hingga 30 Nov, 2024.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Baru-baru ini tular di laman media sosial harga bagasi tambahan dilihat ada perbezaan mengikut…
Berita Domestik
Manakala, dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau, serta Johor Bahru ke Kota…
Berita Domestik
Menurut beliau, tawaran istimewa itu terpakai kepada semua penumpang MYAirline dengan tempahan…