Airbus Helicopters sasar penuhi keperluan ketenteraan Malaysia

oleh Penyumbang Rencana|
helikopter Airbus H225M
Airbus Helicopters menjangkakan permintaan terhadap helikopter yang dihasilkannya terus meningkat di Malaysia terutama daripada pihak ketenteraan.

Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal, berkata Malaysia adalah pasaran penting bagi syarikat itu sejak ia ditubuhkan pada 2002.

AION MREC Banner Campaign May 2024

Beliau berkata, pengeluar helikopter Eropah itu berhasrat untuk memperkukuhkan penguasaannya dalam tempoh lima tahun akan datang, terutamanya dalam sektor ketenteraan.

"Kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan daripada pihak ketenteraan untuk operasi khas, mencari dan menyelamat, dan pengangkutan taktikal di serantau Malaysia.

"Di sinilah terbuktinya kemampuan helikopter Airbus H225M pelbagai fungsi dalam pertempuran untuk keperluan misi," katanya dalam taklimat media pada Selasa.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika ini mengendalikan 12 unit H225M dari pangkalannya di Kuantan dan Labuan.

Direka khas untuk misi yang paling mencabar, H225M pelbagai fungsi ini telah mengambil bahagian secara aktif dalam latihan-latihan tentera dan misi kemanusiaan sejak 10 tahun lalu, termasuk misi penyelamat banjir, bantuan ketika pandemik, dan operasi menyelamatkan nyawa.

De Pascal berkata, pertumbuhan dalam segmen ketenteraan akan mempengaruhi peningkatan kehadiran Airbus di Malaysia dalam bentuk hubungan dan ekosistem sedia ada.

"Kami yakin bahawa penambahan H225M akan melengkapkan pesawat sedia ada di TUDM. Dengan ekosistem semasa, sebarang aset tambahan akan meningkatkan kecekapan bagi pihak tentera udara di semua peringkat.

"Dalam Belanjawan 2024, sejumlah dana telah diperuntukkan kepada TUDM untuk memperoleh 12 buah helikopter. Airbus bersedia untuk membekalkan unit H225M untuk pertimbangan apabila tiba masanya.

"Malaysia sudah mengenali keupayaan H225M, dan dapat manfaat daripada pesawat umum yang boleh beroperasi dengan segera dan kos operasi yang rendah," katanya.

H225M pada masa ini telah dikontrakkan kepada 10 angkatan tentera di seluruh dunia dengan lebih daripada 170 unit telah disampaikan, lebih daripada 40 unit dalam pesanan dan lagi 50 unit menyokong agensi kerajaan dalam misi mencari dan menyelamat.

Empat daripada 10 pelanggan ketenteraan H225M ini berasal dari Asia Pasifik, termasuk Malaysia.

Ketika ini, Airbus menguasai hampir 50 peratus daripada pasaran helikopter di Malaysia.

 

Berita Harian