Armizan berkata walaupun sudah wujud Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) yang melindungi hak pengguna, pembelian kenderaan bermotor adalah sedikit unik kerana ia membabitkan bukan setakat pembeli, tetapi pengeluar kenderaan, rantaian bekalan komponen dan juga keselamatan pengguna jalanraya.
"Pihak kementerian sudah menggerakkan pakar-pakar perunding untuk membuat kajian samada Lemon Law ini perlu diwujudkan secara berasingan atau hanya perlu membuat tambahan komponen di dalam akta yang sedia ada," terang beliau kepada wakil media.
Hasil kajian itu akan diserahkan kepada pihak kementerian untuk membantu perbincangan seterusnya sebelum dibentangkan kepada parlimen.
Empat jenis kenderaan yang dikaji untuk layak duduk di bawah Lemon Law ialah:
1. Kenderaan persendirian yang berusia tidak lebih dari enam bulan.
2. Kenderaan dalam waranti
3. Kenderaan terpakai termasuk import terpakai
4. Kes kenderaan panggil semula
Menjawab soalan dari Careta, beliau juga berkata Recall Law atau undang-undang panggil semula akan turut dikaji bersama dengan Lemon Law ini.
Armizan juga akur bahawa kes-kes pengguna kenderaan bermotor yang sedia ada tidak boleh diketepikan.
"Dalam masa kita menunggu akta Lemon Law diwujudkan, kementerian sudah mempunyai dua langkah interim bagi membantu kes-kes sedia ada dan akan datang.
Pihak kementerian sudah mewujudkan pasukan khas sementara untuk menguruskan aduan-aduan berkaitan pembelian kenderaan bermotor. Pasukan ini akan menjadi perunding cara antara pihak pengguna dan syarikat pengeluar untuk menyelesaikan kes-kes tersebut.
Langkah sementara kedua ialah mewujudkan rundingan bersama Bank Negara Malaysia berkaitan Akta Sewa Beli agar memudahkan proses penukaran kenderaan sekiranya perlu," terang beliau.
Sebelum ini, syarikat pengeluar kenderaan terpaksa melalui proses yang panjang untuk menukarkan kenderaan yang bermasalah kerana kenderaan yang dibeli secara sewa beli itu adalah milik pihak bank. Ia akan membabitkan perjanjian sewa beli dan cukup melecehkan.
Panelis-panelis yang hadir semasa simposium tersebut bersetuju bahawa isu pertama yang perlu diselesaikan ialah tafsiran kenderaan bermasalah atau kenderaan Lemon.
Menurut Liyana Marzuki, bekas penasihat undang-undang KPDN, Malaysia boleh menggunakan contoh-contoh definisi Lemon Law dari negara-negara yang sudah mewujudkan akta itu, seperti United Kingdom, US, Kanada dan Singapura.
"Kita perlu terlebih dahulu menetapkan kenderaan apa yang boleh dikategorikan sebagai kenderaan Lemon. Di California contohnya, jika kenderaan baharu itu sudah dibaiki sebanyak dua kali tetapi masalah tetap berulang, ia boleh dikategorikan sebagai sebuah unit Lemon," terang beliau.
"Kita juga perlu menetapkan komponen mana yang boleh dimasukan dalam akta ini. Adakah ia terbatas kepada komponen penting dan berkait dengan keselamatan atau semua komponen kenderaan itu.
Jika pemilik kenderaan menggantikan komponen seperti pad brek yang sama tetapi di bengkel luar, adakah itu bermakna waranti yang diberikan terbatal?" sambung Liyana.
Proses penghasilan undang-undang Lemon Law ini ternyata kompleks dan akan membabitkan banyak pihak, termasuk dari industri automotif sendiri.
Namun begitu, kenyataan dari menteri ini sudah cukup untuk menjamin bahawa akhirnya, selepas memiliki dua jenama kereta nasional, Malaysia akan mempunyai undang-undang yang lebih lengkap untuk melindungi hak pembeli dan jugak hak pengeluar kenderaan.
Bagi saya pula, perjuangan selama berbelas tahun untuk negara mewujudkan Lemon Law ini akhirnya menampakkan hasil. Sudah tiba masanya kita lebih berfikiran ke hadapan, terutama bila penjualan kenderaan elektrik atau EV semakin rancak dan walaupun EV mempunyai komponen yang jauh berkurangan dari kenderaan berenjin, ia sebenarnya lebih kompleks!