Alasan ‘kejar trip’ punca pemandu lori langgar Perintah Laluan Terhad

oleh Penyumbang Rencana|
Alasan ‘mahu kejar trip’ sering diberikan oleh pemandu lori setiap kali ditahan pihak berkuasa akibat ingkar Perintah Laluan Terhad membabitkan kenderaan berat di lebuh raya pada waktu puncak.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, berkata walaupun diberi amaran ataupun pemakluman awal tidak boleh masuk di laluan tertentu, mereka masih berdegil.

“Larangan pergerakan dilaksanakan mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan pada 4.30 petang hingga 7.30 malam bertujuan mengurangkan kesesakan semasa waktu puncak, masa orang pergi dan pulang kerja.

“Sebanyak 2,712 saman dikeluarkan di Selangor sepanjang tahun lalu ke atas pemandu lori yangi ngkar Perintah Laluan Terhad,” katanya pada sidang media Ops Khas Waktu Laluan Terhad Kenderaan Berat di Galeri Mufors Lebuhraya ELITE, di Subang Jaya, pada Khamis.

Terdahulu seramai 57 pemandu lori yang degil disaman dalam operasi khas di sekitar Lebuhraya ELITE, di sini.

Mengulas lanjut berkenaan larangan kenderaan berat sepanjang tahun lalu Azrin berkata Lebuhraya ELITE mencatat saman tertinggi sebanyak 1,346, Lebuhraya Persekutuan (579 saman), Jalan Templer (366 saman), dan Sungai Buaya (420 saman).

Pemandu yang melanggar arahan larangan pergerakan itu boleh dikenakan tindakan saman bermula RM300 dan boleh mencecah hingga RM2,000 jika terus berdegil.

“Penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dilaksanakan oleh pegawai JPJ, polis mahupun warden trafik.

“Antara laluan utama yang terbabit dalam pelaksanaan Perintah Laluan Terhad ialah Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Kepong ke Jalan Kuching dan Jalan Sungai Buaya,” katanya.

Pada masa sama beliau turut mengingatkan pemandu serta majikan dan pengusaha kenderaan berat khususnya supaya peka dengan perintah larang terbabit serta menasihatkan mereka supaya merancang perjalanan dengan berhemah.

Larangan itu dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah trafik di beberapa laluan utama demi keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.

BuletinTV3