Tidak seperti Terrafugia Transition dan Samson Swithblade, rekaan Alef Model A membolehkannya untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada sayap kekal, bermakna ia juga tidak memerlukan landasan fizikal untuk terbang dan mendarat.

Alef Model A merupakan kenderaan eVTOL (electric vertical takeoff and landing) yang mampu menawarkan jarak penerbangan sejauh 177 km, dan boleh dipandu atas jalan raya sejauh 322 km untuk sekali cas penuh.
Biarpun ia berbentuk seperti sebuah kereta 'sedan', panel badan dengan struktur berjejaring tersebut sebenarnya menyembunyikan lapan bilah kipas untuk terbang dan mendarat secara menegak.

Syarikat pemula itu telah pun membuka pra-tempahan untuk kereta terbang Model A pada Oktober tahun lepas, dan mendakwa telah menerima lebih daripada 440 tempahan sehingga akhir tahun 2022.
Sekiranya Model A dijual secara rasmi kepada umum, pembeli perlu membelanjakan kos bermula dari $300,000 (RM1,400,250) untuk membolehkan mereka memiliki sebuah kereta terbang yang sebenar.
Sumber: InsideEVs