"Projek membabitkan kerja pelebaran jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong dalam usaha melancarkan aliran trafik, selain menyediakan laluan selesa kepada pengguna jalan raya.
"Jambatan Pontian Kecil yang sudah siap dan dibuka kepada pengguna jalan hari ini pula diluluskan di bawah program penggantian jambatan sempit dan uzur menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan kos RM23.13 juta," katanya pada Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Projek Siap di Tapak Projek Jambatan Pontian Besar, pada Isnin.
Katanya, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen pihak kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya diutamakan dengan menaik taraf infrastruktur jalan sedia ada terutama jambatan uzur, sempit serta berisiko.
"Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terus komited memperkukuhkan infrastruktur jalan bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kerancakan trafik sentiasa ditingkat.
"Selain itu, pelaksanaan projek ini khususnya di daerah Pontian menunjukkan keutamaan kerajaan menyediakan jalan lebih selamat dan berkualiti demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi setempat," katanya.
Sementara itu, pengguna jalan, Mohammad Noh Ali, 73, berkata projek jambatan di Pontian Besar itu bakal memberi keselesaan kepada orang ramai, berbanding keadaannya sekarang yang agak membahayakan terutama jika berlaku kemalangan.