Alfa Romeo Giulietta 110 Edizione 2021 dilancarkan di Mexico

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa laporan yang diterbitkan pada tahun lalu mencadangkan Alfa Romeo akan menghentikan penawaran model hatchback kompak Giulietta sebelum tahun 2020 berakhir.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, ia tidak pernah menghalang pengeluar tersebut daripada terus menghasilkan model edisi khas untuk peminatnya di Mexico.

Dinamakan sebagai Giulietta 110 Edizione 2021, hot hatch kompak ini dikuasakan oleh enjin turbo 1.75 liter yang menghasilkan 237 kuasa kuda dan 340 Nm daya kilas.

Sistem transmisi pula adalah jenis klac berkembar enam nisbah kelajuan yang memacu roda hadapan sahaja, dan ia mampu membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.0 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 244 km/j.

 


Antara kelengkapan standard termasuklah lampu utama bi-xenon dengan kemasan gentian karbon, perumah lampu kabus berwarna gelap, lampu belakang LED, aksen hitam berkilat, spoiler belakang gentian karbon terdedah dan kemasan khas pada pemegang pintu.

Sistem brek pula daripada Brembo dengan angkup berwarna merah, sementara rim pula bersaiz 18 inci dengan layangan warna hitam.

Para pembeli Giulietta edisi khas ini boleh mendapatkan warna pilihan Red Competizione Tricapa atau Opaque Gray.

Walaupun tiada gambar dibekalkan, pembeli Giulietta 110 Edizione 2021 ini mendapat tempat duduk eksklusif dengan bolster tambahan balutan Alcantara dan jahitan kontras merah, sementara logo Alfa Romeo pula dijahit kemas pada tempat perehat kepala.

 


Sistem infotainmen pula bersaiz 7 inci serta menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio premium Alpine.

Harga jualan bermula dari 759,900 peso (RM152,862).