Alfa Romeo Stelvio Ti, SUV premium berkuasa 280hp dan 400Nm

oleh Muhammad Md Tajudin|
Anda boleh menemui pelbagai model Alfa Romeo di atas jalan raya tetapi bukan model terkini. Jenama Itali tersebut sudah lama menghentikan operasi di negara kita.

Buat peminat, model baharu seperti 4C atau Giulia boleh ditemui di bilik pameran pengimport bebas tetapi dalam jumlah yang terhad.

Ada sebuah lagi model terkini Alfa Romeo iaitu SUV Stelvio dan penulis masih belum menjumpainya di laman jual beli kenderaan mahu pun di atas jalan raya. 

Di United Kingdom, ada satu edisi baharu dilancarkan iaitu Stelvio Ti. Akronim Ti merujuk kepada Turismo Internazionale iaitu varian tradisi yang mewakili model GT (grand turismo) khusus untuk perjalanan jauh atau pengembaraan dengan keselesaan dan gaya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Alfa Romeo_Stelvio Ti

 

Stelvio Ti menggantikan Milano Edizione yang merupakan varian tertinggi Stelvio. Varian baharu ini tampil dengan beberapa kelengkapan istimewa seperti kemasan gentian karbon, suspensi sport dan pelbagai teknologi sebagai spesifikasi standard.

Di antara ciri standard ialah gril V dan kamera sisi gentian karbon, logo Stelvio dan Q4 berwarna gelap, angkup brek merah dan roda aloi 20 inci.

Pada bahagian dalam, pintu but kini dengan fungsi bebas tangan, papan pemuka dibalut kulit, cermin dilapis baharu untuk lebih kalis bunyi. Teknologi yang dilengkapi ialah Kawalan Jelajah Aktif dan Frequency Selective Damping (FSD).

Keistimewaan FSD ialah ia mampu menjadikan pengendalian lebih baik dengan mengekalkan tahap keselesaan. FSD menggunakan injap yang sensitif terhadap perubahan seterusnya mengawal tahap redaman (damping) secara hidraulik berdasarkan input dari jalan raya.

 

Alfa Romeo_Stelvio Ti

 

Alfa Romeo menawarkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter turbo petrol berkuasa 280hp dan 400Nm pada 2,250 rpm. Enjin ini paling berkuasa dari segi pecutan dengan catatan masa 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.7 saat sahaja dan kelajuan maksimum 230 km/j.

Satu lagi pilihan enjin ialah 2.0 liter diesel berkuasa 210hp. Daya pecutan dari 0-100 km/j mengambil masa 6.6 saat dan kelajuan maksimum 215 km/j.

Kedua-dua enjin empat silinder tersebut diperbuat daripada aluminium dan menggunakan aci pacu gentian karbon. Transmisi yang digunakan ialah lapan kelajuan automatik dengan pacuan kesemua roda Q4.

Alfa Romeo Stelvio Ti adalah SUV premium, harga bermula dari GBP£47,345 (RM246,049) untuk sebuah objek seni empat roda dari Itali ini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin