Allianz, MIROS dan Platform P-Hailing Berganding Bahu Tingkat Keselamatan Penunggang Malaysia

oleh Qalif Latif|
Keselamatan penunggang motosikal, khususnya dalam industri p-hailing yang semakin berkembang pesat, menjadi tumpuan utama dalam Forum Media Allianz Malaysia 2025 yang berlangsung hari ini. Forum ini menyaksikan kerjasama strategik antara Allianz Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), serta tiga platform p-hailing utama negara foodpanda Malaysia, Lalamove Malaysia dan Grab Malaysia.

Usaha ini menekankan bahawa keselamatan penunggang adalah tanggungjawab bersama yang harus dipikul bukan hanya oleh pemain industri, tetapi turut melibatkan agensi kerajaan, syarikat korporat dan masyarakat awam. Menurut Allianz, penunggang p-hailing kini merupakan tulang belakang kepada ekosistem penghantaran yang kritikal bagi kelangsungan kehidupan harian dan perniagaan tempatan.

Sean Wang

Keselamatan penunggang bukan sekadar satu inisiatif tanggungjawab sosial. Ia adalah keutamaan yang menuntut tindakan bersama,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang. “Komitmen kami bukan hanya dalam menyediakan perlindungan insurans, tetapi turut merangkumi sumbangan aktif terhadap kesejahteraan masyarakat.”

Forum ini turut mengetengahkan perbincangan panel bersama MIROS dan wakil-wakil industri p-hailing, yang menyuarakan cabaran harian dihadapi oleh penunggang, termasuk risiko kemalangan jalan raya yang tinggi, tekanan kerja dan kekurangan perlindungan sosial.

Ir. Ts Azhar Hamzah

Ir. Ts. Azhar Hamzah, Pengarah Pusat Faktor Manusia dan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya (HUB) di MIROS, menegaskan bahawa penyelidikan dan dasar yang berpaksikan bukti perlu diterjemahkan kepada langkah konkrit. “Keselamatan jalan raya adalah usaha kolektif. Dengan data yang betul, kita boleh merangka penyelesaian lebih berkesan demi keselamatan dan kebajikan penunggang,” katanya.

Sebagai kesinambungan usaha ini, Allianz Malaysia bakal melancarkan dua program latihan khas bersama Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya. Program pertama menyasarkan penunggang p-hailing dan memberi fokus kepada kemahiran keselamatan serta pengendalian situasi kecemasan. Program kedua pula menumpukan kepada pelajar universiti awam dan swasta, dalam usaha menanam budaya keselamatan jalan raya sejak di bangku pengajian.

Bersama Kelab Marshal, kami mahu memberi ilmu dan kesedaran kepada dua kumpulan utama mereka yang berada di jalan setiap hari, dan generasi masa depan,” tambah Sean.

Allianz Malaysia menutup forum dengan menegaskan pendirian bahawa usaha memperkukuh keselamatan penunggang tidak boleh bermusim atau separuh hati. Ia memerlukan kerjasama rentas sektor dan komitmen berterusan bagi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan sektor penghantaran moden yang semakin penting dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.

Grab FoodPanda Lalamove

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Majlis pelancaran produk terbaharu tersebut telah diadakan di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada hari…
Berita Domestik
Program yang dianjurkan di ibu pejabatnya di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu telah memberi…
Berita Domestik
Pakej Rahmah Kenderaan persedirian menampilkan manfaat istimewa termasuklah bantuan kemalangan…