Akhirnya, minivan yang dinanti-nantikan telah pun tiba apabila Lexus selesai melancarkan model baharu LM sebagai pilihan yang lebih mewah kepada varian 'marhaen' Alphard dan Vellfire.
Walaupun masih memakai platform yang sama, namun sebagai sebuah jenama mewah, Lexus tahu cara untuk menawarkan LM sebuah pilihan yang lebih premium dan lebih mahal.
Membawakan rekaan grill yang sangat ikonik dengan bahasa rekaan Lexus ketika ini, ia juga diselarikan dengan rekaan lampu yang diinspirasikan daripada sedan ES dan LS.
Manakala reka bentuk bumper belakang pula diberikan nafas baharu bagi menjadikan Lexus LM ini lebih berseri, dan diserikan lagi dengan padanan lampu utama belakang jenis LED.
Memasuki ruang dalaman pula, Lexus mendatangkan konfigurasi empat tempat duduk sahaja, dan ruang penumpang belakang pula dipisahkan dengan kehadiran dinding yang memuatkan paparan bersaiz 26 inci, peti sejuk, jam dan ruang storan payung.
Jika anda masih ingat Privacy Suite oleh Rolls-Royce, ini pula adalah versi tersendiri untuk Lexus LM.
Lexus LM dikhususkan buat pasaran China dan sesetengah pasaran Asia dengan dua pilihan varian - LM 350 dan LM 300 h - dan konfigurasi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda.
Lexus LM 350 dikuasakan enjin 3.5 liter bentangan V6 manakala versi hibrid LM 300 h pula hadir dengan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris kitaran Atkinson.