Alpina B3 2020 - wagon M3 yang tidak akan dihasilkan oleh BMW M

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa minggu yang lalu, kami telah melaporkan bahawa BMW tidak begitu berminat untuk menghasilkan wagon/estate berprestasi tinggi di bawah lencana M oleh kerana ia tidak begitu mendatangkan keuntungan berbanding segmen SUV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, ia tidak pernah menghalang salah sebuah penala BMW, Alpina untuk memperkenalkan sebuah pengganti tidak rasmi 'BMW M3 Touring' pada acara Frankfurt Motor Show 2019.

Dibangunkan untuk menjadi pesaing kepada model-model wagon laju seperti Audi RS4 Avant dan Mercedes-AMG C 63, sudah tentu nadi jantungnya juga perlulah ditala secukup rasa. 
 


Alpina B3 dikuasakan oleh enjin S58 enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar yang mampu menghamburkan 455 kuasa kuda dan daya kilas 700 Nm yang dipadankan dengan transmisi ZF lapan nisbah kelajuan dan sistem pacuan semua roda sepenuh masa. 

Alpina turut melengkapkan wagon B3 ini dengan sistem Launch Control dan limited-slip differential supaya mampu menyalurkan kuasa dengan lebih berkesan ketika fasa pecutan 0-200 km/j.
 


Tiada sebarang data pecutan diberikan, namun menurut Alpina, wagon B3 ini didatangkan dengan kelajuan tertinggi 300 km/j di dalam mod pemanduan Sport+, manakala mod pemanduan lain adalah seperti Sport, Comfort dan juga Comfort+.

Bagi memastikan pengendalian yang cemerlang, sistem suspensi telah dinaiktaraf kepada spring Eibach, stabilizer yang lebih besar dan juga sistem kawalan Variable Damper Control.
 


Untuk memberhentikan wagon pantas ini, sistem brek menggunakan khidmat angkup brek empat piston dengan kemasan warna biru serta cakera bersaiz 395 mm di hadapan dan 345 mm di bahagian belakang. 

Peningkatan kuasa tidak akan bermakna tanpa bantuan daripada sistem aerodinamik, jadi Alpina telah meningkatkan aspek tersebut bagi memastikan ia memberikan penyejukan yang lebih berkesan serta mengurangkan daya angkat ketika kelajuan tinggi - lebih kestabilan. 
 


Mengakhiri naik taraf adalah layangan warna Biru dan Hijau Metalik atau anda sendiri boleh memilih warna yang berkenan di kalbu daripada senarai yang ditawarkan oleh BMW dan BMW Individual. 

Selain daripada itu, Alpina juga turut menawarkan senarai opsyen kustom yang sangat panjang bagi mereka yang mahukan ruang dalaman wagon B3 ini lebih sesuai dengan jiwa pembeli, seperti pilihan upholsteri, jahitan, dan jenis kulit untuk dibalut pada tempat duduk. 
 


Alpina B3 Touring akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun hadapan manakala harga rasmi pula akan diumumkan kelak. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dan kini, tiba masanya untuk kita mengetahui julat harga yang bakal diberikan kepada para pembeli…
Berita Global
Jenama yang menggunakan huruf H italik, Hyundai mengambil langkah yang sama dengan membawakan…
Berita Global
Land Rover Defender dibangunkan berdasarkan platform monocoque D7x dan bakal ditawarkan dalam…