Alpine A110 R Ultime, 100 terhad, 345 bhp/420Nm, lebih RM1.2 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Alpine A110 R Ultime
Alpine A110 R Ultime
Dikeluarkan sejak 2017, Alpine A110 mempunyai beberapa edisi daripada tiga model utama A110, A110 S dan A110 R.

Enjin sama iaitu 1.8 liter turbo yang diletakkan pada bahagian tengah dan dipadan bersama kotak gear cekam berkembar tujuh kelajuan dan memacu roda belakang.

Beza di antara tiga model utama ialah kuasa yang dihamburkan dengan A110 R paling tinggi dan tangkas.

A110 R diperkenal pada Oktober 2022 dan memiliki angka 300 kuasa kuda (hp) dan 340Nm.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025
Alpine A110 R Ultime 2025

 

Ada beberapa R yang dikeluarkan seperti A110 R Le Mans, A110R Fernando Alonso dan A110R Turini dan masing-masing mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Ini pula yang terbaru, A110 R Ultime dan seperti biasa dikeluarkan dalam jumlah terhad atau 110 buah sahaja.

Berbeza daripada R lain, kuasa enjin A110 R Ultime melonjak kepada 345 bhp (RON102) pada 6,000 rpm.

Daya kilas meningkat kepada 420Nm bermula dari 3,200 rpm atau 80Nm lebih tinggi berbanding A110 R Turini dan R lain.

 

Alpine A110 R Ultime 2025

 

A110 R Ultime menggabungkan kepakaran teknikal terbaik dari Alpine dan Alpine Racing.

Enjin 1.8 liter menggunakan turbo yang diubah suai (turbin dan pemampat) dan kotak gear DW6 enam kelajuan baharu dengan kapasiti daya kilas yang dipertingkat.

Lagi kelengkapan seperti sistem ekzos titanium Akrapovic®, brek buatan khas dengan cakera dua bahan saiz 330 milimeter (mm) dari AP Racing dan pad brek prestasi tinggi.

Saluran penyejukan juga baharu. Nisbah kuasa kepada berat ialah 3.2 kilogram per kuasa kuda (kg/hp) dan pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.8 saat.

 

Alpine A110 R Ultime 2025

 

Daya itu 0.1 saat lebih pantas berbanding A110R Fernando Alonso. Pecutan kereta dibantu oleh Kawalan Mula automatik.

Selain kuasa, daya mendap juga ditingkatkan dengan tambahan 160 kilogram (kg) pada Vmax (kecepatan maksimum) berbanding A110 R Turini.

Gabungan daya mendap, enjin dan daya kilas lebih tinggi mempertingkatkan pengendalian di litar dan lebih lincah semasa memasuki dan ketika di selekoh dan pecutan.

Menjamah jalan ialah roda tempa 18 inci di depan dan 19 di belakang dengan tayar Michelin PS2 CUP.

 

Alpine A110 R Ultime 2025

 

Alpine tidak sekadar menjual dan menawarkan A110 R Ultime dalam dua pakej tempahan khas iaitu Atelier dan Atelier Sur-Mesure.

Pakej ini dibuat dengan kerjasama Sabelt® dan pakar balutan kulit dan perabot, Poltrona Frau®.

Pakej Atelier menawarkan 27 warna badan dan balutan Alcantara® dalam warna kelabu, merah, biru dan jingga.

Atelier Sur-Mesure pula lebih banyak dengan tambahan sembilan warna Alcantara® dan sepuluh warna untuk balutan kulit.

 

Alpine A110 R Ultime 2025

 

Alpine dan Poltrona Frau® membangunkan tiga teknik kemasan iaitu sulaman, terapan (emboss) dan pengikatan atau anyaman (braiding).

Pelanggan boleh memesan mikrofiber atau kulit dari lantai sehingga ke pelapik bumbung.

Pada bahagian luar, pelanggan boleh meminta warna pilihan mereka pada perkakasan badan seperti tukup gentian karbon, saluran udara atas, cermin belakang, sirip dan pelbagai lagi.

Keistimewaan model ini tidak terhenti dan Alpine menawarkan 15 buah A110 R Ultime dalam pakej La Bleue.

 

Alpine A110 R Ultime 2025

 

Warna kereta istimewa dengan corak gradien Alpine Vision Blue dan Abysse Blue yang dibuat menggunakan tangan.

Permainan warna disambung pada bahagian dalam dengan balutan kulit biru Poltrona Frau® dan Sabelt®.

Harga untuk A110 R Ultime ialah 265,000 euro (RM1,240,924) dan 330,000 euro (RM1,545,301) untuk La Bleue yang lebih terhad.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Alpine A110 R Ultime 2025