Alpine Alpenglow Hy4, 2.0 turbo guna hidrogen, 340 bhp, cecah 270 km/j!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Alpine Alpenglow Hy4
Alpine Alpenglow Hy4
Agenda hidrogen diteruskan lagi kali ini oleh Alpine yang memperkenalkan Alpenglow Hy4.

Bukan kereta untuk orang awam tetapi sebuah makmal bergerak (rolling lab) dan lanjutan model konsep Alpenglow yang diperkenal di Pameran Kenderaan Paris 2022.

Alpine Alpenglow Hy4 direka sebagai kereta lumba dengan monokok karbon dan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 340 bhp.

Kereta ini dipandu jurutera Alpine Racing dan juga juara rallycross, Guillaume De Ridder di litar Spa-Francorchamps sehari sebelum dipertontonkan di khalayak ramai pada 11 Mei.
AION MREC Banner Campaign May 2024
Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Tontonan sebelum Perlumbaan Ketahanan 6 Jam Spa-Francorchamps membolehkan orang ramai melihat dan mendengar sendiri kereta dan ngauman enjin janaan hidrogen.

Alpenglow selain berbunyi hampir dengan Alpine bermaksud cahaya yang bersinar di pergunungan sebelum matahari terbit dan lambang dunia baharu.

Seperti beberapa pengeluar lain, Renault Group percaya kepada teknologi hidrogen dan sudah pun mengambil langkah dalam memajukannya.

Sebagai contoh Renault sedang membangunkan teknologi hibrid yang menggabungkan motor elektrik dengan penambah jarak hidrogen dan sel bahan api.

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Alpine juga percaya peranan sukan permotoran dalam mempercepatkan pembangunan teknologi pengangkutan masa depan.

Apabila bercakap tentang hidrogen, perlu tahu pengkhususan mana yang ditumpukan? 

Terdapat dua jenis teknologi iaitu sel bahan api (fuel cell) yang menghasilkan elektrik untuk menguasakan motor elektrik.

Satu lagi, enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan hidrogen.

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Alpine menumpukan pada ICE yang menggunakan hidrogen kerana mempunyai beberapa kelebihan untuk kereta lumba.

Contoh mudah seperti rasa enjin yang sama untuk pemandu dan bunyi yang selari dengan falsafah Alpine.

Di antara kelebihan ICE dengan suapan hidrogen ialah kuasa khusus, kecekapan yang bagus di bawah bebanan dan keperluan untuk penyejukan tidak banyak.

Sebagai contoh haba disingkir melalui ekzos berbanding radiator. Kesan pada alam sekitar juga bagus kerana pelepasan karbon dioksida sangat sedikit selain beberapa lagi kebaikan.

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Dari segi reka bentuk, kotak kemalangan (untuk menyerap impak tenaga) direka semula dan bahagian dalam dibesarkan untuk dua kerusi selain tinggi yang bertambah.

Tangki hidrogen kekal di dalam pod sisi dan di belakang kokpit. Alpine Alpenglow Hy4 berukuran panjang 5.2 meter, tinggi 1.1 meter dan trek dilebarkan kepada 2.15 meter.

Ciri aerodinamik turut diberi perhatian dengan pemisah depan direka semula untuk aruhan udara bawah yang besar dan melepasi kokpit dan menirus di belakang seperti titisan air.

Rekaan itu juga membolehkan aliran udara melalui bahagian bawah dek belakang. Peresap juga direka kembali untuk kecekapan aerodinamik yang lebih baik.

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Saluran NACA baharu disekalikan untuk kegunaan radiator minyak dan air. Rekaan snorkel seperti kereta lumba.

Ekor yang panjang mengingatkan kepada kereta lumba Alpine A220 pada penghujung 60-an. Spoiler rendah dan lutsinar pula seperti model konsep sebelum ini.

Bahagian dalam pula menggunakan bahan kereta sport seperti gentian karbon, aluminium dan Alcantara. Butang kawalan diambil dari Alpine A110 dan stereng dari kereta lumba Alpine.

Di bawah tukup karbon tersimpan enjin 2.0 liter empat silinder sebaris dengan pengecas turbo yang menghasilkan 340 bhp.

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Hidrogen atau lebih tepat H2 dihydrogen dijadikan bahan bakar dengan pancitan terus pada tekanan 40 bar dan pancitan air bagi mengurangkan pelepasan oksidan nitrogen (NOx).

Enjin boleh dipacu sehingga 7,000 rpm dan dipadan bersama kotak gear lumba jujukan dengan cekam emparan (centrifugal).

Prestasi kereta setara model petrol dan kelajuan tertinggi sekitar 270 kilometer sejam (km/j).

Membangunkan enjin begini mempunyai cabaran tersendiri kerana hidrogen disuntik dalam bentuk gas berbanding petrol dengan titisan.

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024

 

Kerja-kerja yang dilakukan pada enjin kereta turut menyumbang kepada penambahan kepakaran jurutera Alpine Racing yang membangunkan enjin Alpine baharu.

Enjin itu direka sepenuhnya untuk dikuasakan hidrogen dan model makmal bergerak kedua akan dipertontonkan pada tahun ini juga.

Alpine Racing turut memberi perhatian kepada perubahan dalam peraturan perlumbaan.

Alpine Racing mengambil maklum bahawa Automobile Club de I'Ouest (ACO) akan membenarkan kereta lumba hidrogen bersaing di dalam 24 Jam Le Mans bermula 2027.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Alpine Alpenglow Hy4 2024