AMB 001 Pro, motosikal litar dengan inspirasi Aston Valkyrie AMR, kuasa 225 hp!

oleh Muhammad Md Tajudin|
AMB 001 Pro
AMB 001 Pro
Pada 2019, Aston Martin dan pembuat motosikal Brough Superior yang berasal dari England dan kini dikeluarkan di Perancis memperkenalkan motosikal litar AMB 001.

Kedua-dua jenama itu kembali dan kali ini memperkenalkan AMB 001 Pro yang diinspirasi dari kereta hiper Aston Martin Valkyrie AMR Pro.

Hanya ditawarkan di dalam spesifikasi tunggal, AMB 001 Pro adalah lanjutan kepada AMB 001 yang telah habis dijual. 

Tidak sekadar menjual semula apa yang telah habis, AMB 001 Pro mempunyai 25 peratus kuasa lebih tinggi dan menghasilkan 225 kuasa kuda (hp).
AMB 001 Pro

 

Nisbah kuasa kepada berat ialah 1.28 hp per kilogram dan bersamaan dengan kereta Formula Satu.

Kuasa tambahan diperolehi dari enjin 997 silinder berkembar yang dipertingkatkan dengan bahan yang diperbuat daripada bilet padu (solid billet) AL 5000.

Bahan itu menyumbang kepada struktur enjin yang lebih kuat manakala rekaan silinder baharu dengan pelapik (liner) silinder basah membantu dalam meningkatkan penyejukan.

Prestasi daya mendap ditingkatkan melalui spoiler depan dan sayap sisi dengan penutup (cowl) depan dipasang terus kepada panel badan.

Ianya dibuat untuk pengurusan daya mendap pada bahagian depan motosikal. 

 

AMB 001 Pro

 

Satu ciri menarik AMB 001 Pro ialah laluan angin atau terowong yang mengalirkan udara melepasi penunggang dan menerangkan mengapa bahagian depan dan sisi nampak 'semacam'.

Udara akan memasuki saluran kemasukan yang dipasang bersama sayap dan melepasi penutup depan dan dilencongkan melalui penghadang angin (windshield).

Fungsi alihan udara turut dibantu sirip belakang dengan rekaan penstabil aerodinamik.

Diperhati dari dekat memang jelas kelihatan motosikal ini sarat dengan bilah, sirip dan lenggokan badan aerodinamik.

 

AMB 001 Pro

 

Menyerlahkan penampilan AMB 001 Pro yang sudah agresif ialah warna Aston Martin Verdant Jade dan hitam Cerakote pada bahagian enjin dan suspensi.

Warna itu diserikan dengan riasan Photon Lime yang biasa digunakan pada jentera lumba Aston Martin.

Turut dilengkapi logo Aston Martin yang dibuat daripada aluminium dengan etsa kima (chemical etched aluminium) dan 99.4 peratus lebih ringan daripada logo enamel biasa.

Kepada yang berkenan, tempahan AMB 001 Pro sudah pun dibuka dan penghantaran pertama dijadual pada suku keempat 2023.

Pengeluaran dihadkan kepada 88 unit sahaja.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

AMB 001 Pro