Ambil langkah tidak popular demi keselamatan rakyat - Menteri Pengangkutan

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan tetap dengan pendirian untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak bermula Januari depan, meskipun terpaksa berhadapan dengan tentangan dan reaksi negatif masyarakat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak pernah berniat untuk menyusahkan atau membebankan ibu bapa, namun pengenalan langkah tersebut amat diperlukan bagi memberikan kesedaran pentingnya melindungi nyawa anak-anak. 

“Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pengangkutan dan keselamatan jalan raya, saya perlu ambil tindakan ini walaupun dikritik mengambil tindakan yang tidak popular dan sebagainya, tetapi untuk jangka masa panjang, saya yakin ini adalah langkah terbaik untuk keselamatan rakyat.

“Kami tahu banyak suara yang membantah dan mengadu kerana ia akan menambah beban, kos CRS mahal, menyusahkan dan sebagainya... kami tahu maklum balas itu akan berlaku kerana jika dilihat balik apa sahaja langkah keselamatan yang diperkenalkan sebelum ini mengambil masa untuk rakyat menerima dan menyesuaikan diri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Anthony berkata, umpama pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar yang diwajibkan pada tahun 70-an yang mana mulanya orang ramai membantah penguatkuasaannya tetapi kini kedua-dua peraturan itu menjadi norma dan tidak dipertikaikan kepentingannya.

“Pada zaman itu kereta tidak mempunyai tali pinggang keledar dan apabila diperkenalkan sudah tentu orang membantah... begitu juga topi keledar yang mana pemakaiannya di Malaysia kini sudah mencapai tahap pematuhan yang amat tinggi berbanding negara-negara di rantau ini... jadi kita faham apa sahaja langkah yang diperkenalkan pastinya pada permulaan akan ada bantahan,” katanya.
 


Beliau berkata, meskipun penggunaan CRS itu diwajibkan bermula 1 Januari depan namun tiada saman atau tindakan keras akan dikenakan untuk enam bulan pertama bagi mendidik dan membiasakan rakyat dengan peraturan tersebut.

“Seringkali saya ulang bahawa tujuan saya bukan untuk dapatkan duit saman daripada rakyat, bukan untuk susahkan orang tetapi fokus utama adalah kita mahu rakyat tahu CRS adalah keperluan untuk keselamatan, maka sebab itu pendekatan ‘soft landing’ diambil untuk fasa pertama iaitu fasa pendidikan atau advokasi sebelum fasa penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, beliau berkata, beliau percaya ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan penawaran yang tinggi dalam pasaran selepas undang-undang itu digazetkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan bersikap lepas tangan dan akan terus memantau harga CRS di pasaran, selain kementerian itu telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak mengenakan duti eksesais terhadap CRS supaya harga produk berkenaan dapat dikurangkan.
 


Selain daripada itu, Kementerian Pengangkutan juga turut menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan awam seperti pengenalan pas My100 yang memberikan akses tanpa had kepada semua perkhidmatan RapidKL di Lembah Klang. 

Ketika ditanya, Anthony Loke mengakui dirinya masih belum berpuas hati dengan perubahan dan penambahbaikan yang diperkenalkan. 

“Kita tidak boleh berpuas hati lagi kerana proses menambah baik dalam menyediakan persekitaran dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat itu adalah berterusan... kita tahu ada kelemahan-kelemahan yang punya ruang untuk diperbaiki dan kita mahu rakyat sendiri merasai dan berpuas hati dengan semua penambahbaikan termasuklah sistem pengangkutan yang efisien dan murah,” katanya. 

Sumber asal: Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
  MIROS dalam kenyataan hari ini (Sabtu) telah memaklumkan program rebat pembelian kerusi…
Informasi
Menurut Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kanak-kanak yang mempunyai ketinggian…
Berita Domestik
  Katanya, kementerian juga sedang merangka cara penyelesaian jangka panjang yang dapat melindungi…