Mengikut syarat yang telah ditetapkan, Toyota juga perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 20 unit jentera produksi jalanan yang akan bertindak sebagai model halo - dengan hierarki paling tinggi di atas GR Supra - untuk dijual kepada umum.
Namun, tidak semua berpeluang untuk mendapatkan model hypercar Toyota ini walaupun anda mempunyai duit yang makan tak habis tujuh generasi, ini kerana Toyota Gazoo Racing baru-baru ini menerbitkan sebuah borang soal selidik bagi mengetahui latar belakang prospek yang berpotensi.
Soalan tersebut dimulakan dengan jenis kenderaan berprestasi tinggi yang anda miliki, dengan menyediakan sehingga 10 ruangan kosong untuk diisi, serta kekerapan anda menggunakan kereta ini dalam kehidupan seharian.
Toyota Gazoo Racing juga turut bertanyakan sama ada anda seorang pemilik atau pernah memiliki dua buah jentera lagenda Toyota - 2000GT atau Lexus LFA.
Selain daripada itu, anda juga akan ditanya soalan berkaitan sukan permotoran, seperti kekerapan pemanduan di dalam litar, penyertaan di dalam sukan permotoran, serta terdapat opsyen "Saya memiliki/pernah memiliki sebuah pasukan perlumbaan."
Begitu spesifiknya permintaan yang diajukan oleh Toyota Gazoo Racing, bagi membuktikan mereka bukan sahaja mahu menghasilkan hypercar yang serius, akan tetapi mahukan bakal pemilik benar-benar serius menghargai jentera Toyota GR Super Sport.
Jentera lumba Toyota GR010 Hybrid akan membuat kemunculan rasmi pada World Endurance Championship April ini di litar Algarve, Portugal.
Ia dikuasakan oleh enjin 2.4 liter bentangan V6 yang dibantu dengan sistem Toyota Hybrid System-Racing (THS-R) yang berupaya menghasilkan angka output 1,000 kuasa kuda.
Namun untuk tujuan perlumbaan, angka output tersebut akan dihadkan kepada 670 hp dengan berat jentera sekurang-kurangnya 1,030 kg.
Sumber: Toyota Gazoo Racing