Angkatan Tentera Malaysia terima peruntukan 'one off' RM10 juta beli aset hadapi banjir

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kerajaan meluluskan peruntukan sekali beri (one off) sebanyak RM10 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembelian aset dan persediaan menghadapi kejadian banjir pada masa akan datang.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan tersebut diluluskan pada mesyuarat pasca-Kabinet pada Jumaat.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Beliau berkata, antara aset bakal dibeli adalah bot getah yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir terperangkap terutamanya di kawasan cetek dan lori tujuh tan.

 

"Sekarang ini ATM menggunakan bot tempur dan kita memerlukan bot getah yang digunakan komando dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

"Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir)," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, di Segamat, pada Sabtu.

 

Mohamad berkata, pandangan daripada pihak berkaitan termasuk ATM akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri sering menghadapi banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

 

Beliau berkata, sebanyak 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.

 

Susulan kejadian banjir teruk di Johor, pihaknya turut menghantar anggota tentera laut buat pertama kali bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain, katanya.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pembinaan jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang, akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

 

"Sekarang ini (jambatan) akan dipasang dan kor jurutera ATM bersedia membantu Jabatan Kerja Raya, dalam sehari dua boleh siap," katanya.

 

Pada 1 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar, Rompin yang runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat.

 

 

Bernama

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Aset-aset tersebut akan ditempatkan di kem-kem ATM dan juga hospital ATM di seluruh negara,…
Berita Domestik
  Menurutnya, peruntukan menaik taraf aset ketenteraan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),…
Berita Domestik
Dua jentera yang dimaksudkan itu adalah jenis PC 210 LC-10M yang dimiliki 91 Rejimen Askar Jurutera…