Anthony Loke - Cawangan JPJ diarah turun notis tiada cukai jalan fizikal

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Beberapa cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarah menurunkan notis yang mengatakan bahawa JPJ tidak mengeluarkan cukai jalan kenderaan persendirian secara fizikal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ Rospiagos Taha kepada cawangan jabatan berkaitan yang mengatakan cukai jalan tidak akan dikeluarkan secara fizikal bermula 1 Ogos 2023 serta memohon pelanggan memperbaharuinya menerusi aplikasi MyJPJ.
KTM aspiRC MREC Banner Campaign October 2023
HONDA CITY MREC Banner Campaign November 2023

"Stiker (cukai jalan fizikal) masih dikeluarkan, cuma ada beberapa cawangan kehabisan stok jadi mereka letak notis tiada lagi cukai jalan fizikal tapi itu bukan keputusan dasar. Jadi kita ambil langkah cepat, apabila kita tahu cawangan itu telah habis stok, kita akan teruskan tempahan stok," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Katanya Kementerian Pengangkutan belum lagi menetapkan tarikh mutlak bagi transisi cukai jalan fizikal kepada digital sepenuhnya, malah rakyat masih diberi pilihan untuk menggunakan cukai jalan secara fizikal.

"Sementara ini kita akan bagi lagi, tapi akan sampai masa kita kata semuanya akan ditukar kepada digital sepenuhnya, namun keputusan ini belum dibuat, ia akan mengambil tempoh enam bulan hingga setahun sebelum dapat bertukar sepenuhnya kepada digital," katanya.

Beliau berkata setakat ini hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih untuk menggunakan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ.

Loke sebelum ini mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tempatan tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing bermula 10 Feb lepas, sebaliknya boleh menggunakan mod paparan digital.

Katanya langkah pendigitalan JPJ itu mampu mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus, dengan setiap bulan secara purata 1.5 juta kenderaan perlu memperbaharui lesen kenderaan motor, dan membawa penjimatan RM96 juta setahun dari segi kos pelekat dan kad.

Mengulas penutupan beberapa laluan di ibu negara bermula Sabtu ini (5 Ogos), Loke berkata beliau telah memberikan pandangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar keputusan itu dikaji semula dengan mengambil kira lebih banyak kesesakan jalan raya akan berlaku di kawasan terlibat.

Biarpun penutupan jalan berkenaan adalah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan bukan MOT, Loke berpendapat sebelum sebarang jalan raya ditutup, perlu ada perancangan sebaiknya dan melibatkan komunikasi atau cadangan daripada orang ramai.

DBKL memaklumkan Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew akan ditutup sehingga 4 Ogos 2024 bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.

Mengulas insiden seorang wanita yang dicabul di platform stesen LRT Maluri, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, Loke berkata lelaki berkenaan yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah ditahan polis.

Beliau berkata Prasarana Malaysia Bhd diarahkan untuk meningkatkan elemen keselamatan di stesen-stesen LRT.

Dlam kejadian itu seorang wanita berdepan detik cemas apabila dipeluk secara tiba-tiba oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di stesen berkenaan sebelum diselamatkan orang awam.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi…
Berita Domestik
Beliau berkata, lori paling berat yang ditahan dalam operasi itu adalah membawa muatan 'pilling'…
Berita Domestik
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi itu dilaksanakan hasil…