Anthony Loke - JPJ perlu semak semula SOP dan peraturan kenderaan elektrik (EV)

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Bernama
Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan berkaitan kenderaan elektrik (EV) bagi memastikan sektor itu dapat dibangunkan dengan lestari di dalam negara.

Menterinya Anthony Loke berkata ia berikutan terdapat kemungkinan beberapa peraturan pada masa ini yang dilihat kurang bersesuaian untuk diaplikasikan pada EV.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

"Jadi, apa-apa prosedur yang tidak terpakai dan relevan pada EV ini kita perlu buat perubahan. Ini kerana EV khususnya kenderaan berat adalah sesuatu yang baharu dan kebanyakan peraturan kita terpakai untuk kenderaan konvensional yang menggunakan diesel.

"Maka, kita perlu lakukan satu bentuk perubahan dari segi peraturan," katanya selepas merasmikan Bahagian Logistik Hijau Swift dan penyerahan lori terminal elektrik pertama Malaysia kepada Unilever Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan juga akan berusaha mengurangkan kerenah birokrasi bagi memberi galakan kepada pihak swasta untuk membuat pelaburan dalam sektor EV.

Beliau berkata usaha itu adalah bagi menyediakan pasaran yang lebih besar untuk EV dan lori terminal elektrik di dalam negara.

"Selain itu, dari segi ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) kita, ia akan meningkatkan imej negara. Kerana apa yang kita dapati sekarang ini banyak syarikat multinasional mereka mementingkan ESG dan dasar untuk mengurangkan karbon.

"Jadi, prasarana dan perkhidmatan kita dari segi logistik serta pengangkutan mesti ada satu bentuk penyediaan ke arah itu bagi membantu mereka (syarikat multinasional) merendahkan jejak karbon," katanya.

Beliau berkata usaha itu juga penting dan memerlukan bantuan daripada keseluruhan ekosistem industri susulan potensinya dalam meningkatkan daya saing negara dan menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Berhubung majlis pelancaran hari ini, Loke berkata usaha Swift Haulage Berhad dan Unilever menjadi titik permulaan dalam mendorong syarikat lain untuk turut sama melabur ke arah penggunaan EV.

"Apabila sudah ada permulaan ini, maka ia akan set the motion in place. Saya yakin dalam masa beberapa tahun ini lori terminal elektrik ini akan menjadi pilihan disebabkan oleh permintaan pelanggan.

"Pelanggan pada hari ini sangat prihatin dari segi logistik dan rantaian pembekal sama ada ia menggunakan sesuatu yang mesra alam. Bahkan, ini adalah trend baharu dalam dunia kita dan syarikat tempatan mesti ambil langkah ke arah itu," katanya.

Beliau turut menggalakkan agar lebih banyak syarikat logistik mengambil langkah proaktif dalam meneroka dan melabur dalam sektor kenderaan elektrik.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selain itu penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi…
Berita Domestik
"Antara penambahbaikan terkini yang dilaksanakan adalah pengenalan fungsi pembaharuan Lesen…
Berita Domestik
"Awal tahun depan kita akan umumkan satu inisiatif iaitu kepada mana-mana pihak atau orang ramai…