"Perkhidmatan BAS.MY di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti memberi tumpuan di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, khususnya di luar Lembah Klang.
"Setakat ini, perkhidmatan BAS.MY beroperasi di kawasan Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching. Perkhidmatan ini juga sedang diperkenalkan secara berfasa di Kota Kinabalu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu jumlah pengguna Kad Konsesi BAS.MY mengikut negeri serta pecahan peratusan pemegang kad berkenaan mengikut kategori.
Loke berkata, jumlah pengguna Kad Konsesi BAS.MY paling tinggi adalah di Johor Bahru iaitu 16,832 pengguna, diikuti Kuching (10,215), Ipoh (7,304), Seremban (6,310) dan Melaka (4,668).
Menjawab soalan tambahan Poay Tiong mengenai kekurangan kemudahan perhentian bas, beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memastikan penyediaan kemudahan tersebut dapat diperluas ke seluruh negara bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam.
Beliau berkata, walaupun usaha ke arah itu sedang dijalankan, masih terdapat kekangan dari segi peruntukan dan sumber memandangkan penyediaan perhentian bas turut memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Loke berkata, MOT kini melaksanakan model kerjasama awam-swasta yang membolehkan syarikat swasta menaja serta menyelenggara perhentian bas dengan memaparkan iklan di lokasi berkenaan sebagai pertukaran.
"… bukan semua perhentian bas itu perlu dibina oleh pihak kerajaan ataupun PBT. Kita juga boleh menyediakan tapak dan memang Kementerian Pengangkutan sekarang ini mereka satu program supaya syarikat swasta boleh adopt perhentian bas ini.
"Ini sudah tentu akan memberikan satu kerjasama menang-menang kepada semua pihak. Saya harap perhentian bas dan laluan pejalan kaki ini akan terus diperkasakan di peringkat lapangan," katanya.