Anthony Loke Saran Pemaju Kurangkan Parkir Untuk Projek Baharu Berhampiran Stesen Pengangkutan Awam

oleh Qalif Latif|
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sekali lagi menegaskan keperluan untuk menyemak semula syarat pembangunan perumahan di kawasan bandar khususnya projek yang terletak berhampiran rangkaian rel seperti MRT LRT Monorel dan KTM.

Beliau menyarankan agar pemaju mengurangkan jumlah petak parkir yang dibina untuk projek baharu yang berada dalam lingkungan stesen pengangkutan awam kerana keperluan parkir yang terlalu tinggi menjadi antara faktor yang meningkatkan harga hartanah.

Anthony Loke

Menurut Anthony Loke cadangan ini telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Beliau menjelaskan bahawa syarat satu atau dua petak parkir bagi setiap unit kediaman memberi kesan besar kepada kos pembinaan. Apabila parkir dikurangkan jumlah kos dapat diminimumkan sekali gus memberi ruang kepada harga rumah yang lebih rendah kepada pembeli.

Anthony Loke berkata projek yang berada betul betul dekat dengan stesen pengangkutan awam tidak wajar lagi mengikut keperluan parkir tradisional kerana penduduk mempunyai akses terus kepada rangkaian rel. Beliau menambah bahawa pendekatan ini mampu menggalakkan gaya hidup yang lebih bergantung kepada pengangkutan awam sekali gus mengurangkan keperluan memiliki kereta di kawasan bandar.

Beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan berorientasikan transit di Kuala Lumpur sudah pun diberikan kelonggaran keperluan parkir oleh pihak berkuasa tempatan. Ini menunjukkan bahawa perubahan dasar ke arah pembangunan bandar yang lebih mampan sedang berlangsung secara berperingkat.

Menjawab kebimbangan berhubung isi rumah yang memiliki lebih daripada satu kenderaan Anthony Loke menjelaskan bahawa cadangan ini hanya terpakai kepada projek baharu dan lebih tertumpu kepada golongan muda yang tinggal berhampiran rangkaian rel bandar. Sekiranya mereka tinggal dekat dengan stesen pengangkutan awam keperluan untuk memiliki kereta adalah lebih rendah yang secara langsung dapat membantu mengurangkan kos sara hidup.

Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah jangka panjang untuk mengubah budaya mobiliti rakyat Malaysia ke arah penggunaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh.

Sumber: Bernama.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Katanya, jenayah kecurian kabel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia memberi…
Berita Domestik
Beliau berkata, insiden itu berlaku ketika proses pertukaran landasan apabila gerabak pertama…
Berita Domestik
Beliau berkata, ketika ini tiada sebarang perubahan dasar diputuskan kerana kerajaan masih…