Anthony Loke - Tiada keperluan perketat syarat mohon lesen memandu

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang memperketat syarat pembaharuan lesen memandu kepada semua pemegang lesen kenderaan termasuk keperluan mengemuka laporan kesihatannya.

Menterinya, Anthony Loke berkata, jika langkah sedemikian dilaksana, ia akan menimbulkan bantahan ramai pihak dan menambah birokrasi dalam urusan perbaharui lesen memandu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, pemenang lesen bagi kad orang kelainan upaya (OKU) masih tertakluk syarat ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini.

"Saya rasa untuk pemegang kad OKU, kaedahnya seperti biasa. Tapi untuk pemegang lesen sedia ada, untuk mereka perbaharui lesen sekarang ini, tiada syarat tambahan.

"Kalau kita mahu letak syarat tambahan, nanti ada orang akan bising... setiap tahun perbaharui lesen kena dikepilkan laporan kesihatan dan sebagainya.

"Ia (laporan kesihatan) hanya terpakai untuk pemegang khas lesen kenderaan perdagangan perlu ada laporan kesihatan dan sebagainya. Tapi untuk pemegang lesen B (penuh) umpamanya, tidak diperlukan. Tapi saya rasa adalah penting untuk pemandu berkenaan untuk mereka juga supaya lebih bertanggungjawab.

"Kalau mereka diberikan sebagai pemandu OKU, maka mereka perlu memberikan maklumat itu (laporan kesihatan) kepada pihak JPJ," katanya menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohammed Taufiq bertanya sama ada MOT sedia mempertimbang syarat lebih ketat untuk proses perbaharui lesen kepada pemegang kad OKU bagi memastikan mereka tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketika menjawab soalan asal Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) sama ada MOT bercadang menambah syarat dalam permohonan lesen bagi kelas B penuh, Loke berkata, syarat dalam permohonan lesen bagi kelas berkenaan adalah memadai seperti ditetapkan pada masa ini.

"MOT melalui JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sentiasa menyemak secara berterusan syarat-syarat permohonan lesen terhadap semua jenis Kelas Lesen termasuklah Kelas Lesen B.

"Hal ini bagi memastikan pemegang lesen terlibat mempunyai kompetensi dan kemahiran pengendalian kenderaan motor di dalam sesuatu Kelas Lesen berkaitan demi keselamatan semua pengguna jalan raya secara keseluruhannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, MOT akan sentiasa menyemak dan menambah baik kaedah-kaedah berkaitan pengangkutan jalan dari masa ke semasa bagi memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap yang tinggi.

 

Berita Harian