Anthony Loke - Tiada pemotongan subsidi RON95 untuk T20 buat masa ini

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kerajaan masih mengekalkan kaedah pemberian subsidi RON95 melalui BUDI95 sementara semakan terhadap cadangan penstrukturan semula untuk kumpulan berpendapatan tinggi (T20) dimuktamadkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan masih meneruskan agenda rasionalisasi subsidi secara berperingkat dengan menekankan pendekatan yang mudah dan terkawal bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan serta mengurangkan ketirisan.

Beliau berkata, ketika ini tiada sebarang perubahan dasar diputuskan kerana kerajaan masih mengekalkan prinsip sistem subsidi yang mudah dan jelas kepada rakyat.

"Prinsip dasar kerajaan di bawah BUDI95 ialah sistem yang paling mudah dan terus kepada rakyat. Semua warganegara boleh menikmati subsidi dengan penggunaan MyKad dalam persekitaran yang terkawal dengan had kuantiti tertentu bagi mengelakkan ketirisan.

"Jemaah Menteri telah membincangkan perkara itu sejak sekian lama dan bersetuju bahawa mekanisme subsidi perlu dikekalkan dalam bentuk yang ringkas," katanya selepas menghadiri Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2026, pada Khamis.

Beliau berkata setakat ini tiada keputusan dibuat untuk memotong atau mengubah subsidi bahan api bagi kumpulan T20.

"Tiada ada keputusan untuk memotong subsidi T20 buat masa ini," katanya.

Mengulas isu ketercapaian sistem subsidi kepada semua pihak, Loke berkata tidak semua sektor dapat dilindungi sepenuhnya di bawah mana-mana sistem subsidi diesel, namun kerajaan memberi tumpuan kepada industri penting seperti pengangkutan barangan dan logistik.

"Tidak semua sistem boleh meliputi 100 peratus pengguna. Namun kebanyakan industri penting seperti pengangkutan barangan dan kargo masih menerima manfaat di bawah kadar bersubsidi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bekalan diesel negara kekal stabil dan tiada gangguan rantaian bekalan direkodkan sejak pelaksanaan sistem semasa.

Beliau berkata, pelaksanaan BUDI95 setakat ini menunjukkan keberkesanan dari segi kawalan subsidi serta kestabilan bekalan bahan api di pasaran.

Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi akan diteruskan secara berhati-hati bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kedudukan fiskal negara.

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan milik dua individu yang bukan kepunyaannya, tanpa kuasa…
Berita Domestik
"Ketika ditahan, polis menemui empat kad pengenalan milik individu berasingan dalam milikannya. "…
Berita Domestik
"Kerajaan Madani akan terus melindungi rakyat Malaysia melalui inisiatif subsidi bersasar Budi…