Apa guna bintik hitam pada cermin hadapan anda?

oleh SALINA JALIL|
Pastinya anda perasan akan adanya bintik-bintik hitam pada cermin hadapan kenderaan anda dan kadang-kadang ada di hujung cermin tingkap sisi. Tetapi, apakah gunanya bintik-bintik hitam tersebut?

Menurut laman web otomotif Jalopnik, mereka menghubungi Pilkington, syarikat pembuat kaca dari UK sejak tahun 1826 yang telah dibeli oleh Nippon Sheet Glass Company, syarikat gelas dan cermin dari Jepun yang merupakan antara pemain terbesar di dalam pembuatan cermin kenderaan.
AION MREC Banner Campaign May 2024

 

Menurut artikel tersebut, jaluran bintik hitam dikeliling cermin hadapan kenderaan anda itu dinamakan "frit". Ia adalah cat seramik yang dipanggang terus ke atas cermin kenderaan anda dan tidak boleh dibuang walaupun jika anda cuba mengikisnya.

 

Frit mempunyai tiga tujuan.

 

Tujuan pertama dan yang paling penting, ia menghalang sinar ultraviolet dari merosakan lapisan kedap urethane (urethane sealant) yang menghalang air hujan dari masuk dari bingkai dan juga memegang cermin agar lekat kepada bingkai.

 

Tujuan kedua jaluran frit itu ialah untuk menawarkan permukaan yang kasar agar gam dapat melekat dengan lebih kuat. Di samping itu, bintik-bintik hitam itu juga menyembunyikan lapisan gam itu dari pandangan luar agar nampak kemas.

 

Tujuan terakhir ialah lebih kepada tujuan astetik atau kecantikan visual. Bintik-bintik dot matrix itu memberikan perubahan dari bintik-bintik terus ke garisan hitam kedap di tepi bingkai. Dan kumpulan bintik hitam di belakang cermin pandang belakang itu pula turut menjadi pelindung suria. Terjawab sudah misteri bintik hitam itu bukan?

Sebelum anda membaca artikel ini, adakah anda terfikir tentang fungsi bintik-bintik hitam seperti tahi lalat itu?