APAD keluarkan 300 lesen bas ekonomi tambahan sempena Aidilfitri

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara kepada bas ekonomi yang berminat bagi menampung permintaan tinggi sempena musim perayaan Aidilfitri.

Agensi itu dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, tambah siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambahan sebanyak 10 peratus, manakala tiada tambang siling untuk bas eksekutif pada musim perayaan.

“Perkhidmatan jenis ekonomi menyediakan bas berhawa dingin yang dilengkapi kemudahan asas, manakala perkhidmatan jenis eksekutif menawarkan keselesaan kepada penumpang dengan tempat duduk yang lebih luas, lampu baca, minuman dan makanan ringan, kerusi sandar dilengkapi dengan tempat meletak makanan, televisyen dan pemain multimedia digital.

“Pemantauan rapi juga dilaksanakan pada musim perayaan bagi memastikan semua pengendali bas mematuhi jadual tambang yang ditetapkan.

“Maklum balas daripada pihak awam mendapati terdapat kekeliruan ketika pembelian tiket ekonomi ataupun eksekutif kerana maklumat yang kurang jelas.

“Justeru, kami mengeluarkan arahan supaya pusat penjualan tiket berpusat, termasuk dalam talian dan luar talian untuk memaparkan secara jelas maklumat tiket supaya pengguna boleh memilih perkhidmatan yang setimpal dengan harga tiket yang perlu dibayar,” katanya.

Mengenai semakan jadual tambang akhir, APAD akan menyemak dasar dan peraturan sedia ada termasuk pengenalan tambang siling untuk perkhidmatan eksekutif.

“Semakan dasar dan peraturan ini memerlukan sedikit masa kerana membabitkan pindaan kepada perundangan.

“Selain itu, pihak pengendali juga diingatkan untuk mematuhi jadual tambang sedia ada. Kegagalan untuk mematuhi jadual tambang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan tindakan Penggantungan atau Pembatalan lesen pengendali,” katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Apabila kemalangan seperti ini berlaku khususnya membabitkan bas awam, tindakan pertama kita ialah…
Berita Domestik
"Penyelesaian kepada 33 isu itu sebenarnya sudah ada, tetapi kita belum uji sepenuhnya. Sekarang…
Berita Domestik
Pengumuman penting ini menamatkan sebarang persoalan mengenai status operasi perkhidmatan itu,…