Apakah perkara yang anda perlu risau dengan enjin turbo dan transmisi modern? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Semakin ramai pengeluar kenderaan yang kita lihat mula muncul dengan enjin-enjin turbo yang modern.

Tak cukup dengan itu, ada yang dilengkapi dengan transmisi-transmisi yang cukup modern, seperti Dual Clutch Automatic (DCT) dan sebagainya.

Kesemua teknologi itu sebenarnya bukan baharu dan sudah diperkenalkan oleh pengeluar-pengeluar dari jenama premium.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jadi bila ia dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan jenama marhaen, ia adalah satu berita yang gembira kerana lebih ramai lagi pengguna yang mampu untuk "merasa" kelebihan teknologi tersebut.

Namun begitu, ada juga pengguna-pengguna yang masih sangsi dan risau. 

Kali ini kita lihat sendiri lima isu yang sering ramai terlupa dalam keseronokan mengejar impian untuk memiliki sebuah kenderaan canggih:

 

 

1. Enjin turbo untuk mesra alam, bukan untuk prestasi

Turbo ialah satu terma yang menarik, kerana ia membangkitkan perasaan bahawa kenderaan itu berkuasa.

Sebenarnya, pengeluar kenderaan terpaksa menghasilkan enjin turbo kerana piawaian asap yang semakin ketat.

Kerajaan Malaysia masih lagi tidak mempunyai agenda "hijau" yang kukuh. Paling kukuh pun, kenyataan bahawa program itu "akan dilaksanakan pada masa hadapan".

Namun begitu, syarikat kenderaan tidak mampu untuk mempunyai barisan enjin yang banyak, dan oleh itu, ia akan menggunakan enjin-enjin terkini untuk pasaran-pasaran kebal alam seperti Malaysia.

 

 

 

2. Enjin turbo bermaksud lebih banyak komponen

Berbanding dengan enjin konvensional, enjin turbo memang mempunyai lebih jumlah komponen, iaitu pengecas turbo itu sendiri dan sistem penyejukannya.

Secara logik, memang akan ada komponen tambahan yang akan rosak. Tidak ada komponen yang tahan selamanya, dan tidak ada kenderaan yang akan tahan selamanya. Penggantian unit turbo bukanlah sesuatu yang tidak boleh berlaku.

Oleh itu, di sini kita perlu melihat rekod lampau atau "track record" pengeluar itu sendiri. Syarikat kenderaan premium tidak takut untuk menggunakan teknologi baharu di dalam kenderaan mereka kerana penggunanya adalah di dalam kelompok yang mampu dan juga kadar perbatuan oleh pemilik-pemiliknya juga jauh lebih rendah.

Ada juga pengeluar yang lebih suka "play safe", dan contoh terbaik ialah Toyota.

Teknologi-teknologi baharu akan diperkenalkan pada jenama Lexus dahulu, dan selepas terbukti ia lasak dan kos penjagaannya tidak rumit, barulah Toyota akan memperkenalkannya kepada model-model yang lebih mampu milik.

Ini ialah kerana Toyota tahu jenamanya terkenal kerana kelasakan dan kos pemilikan yang rendah dan kerana itu ia sangat berhati-hati dalam pemilihan teknologi untuk kenderaannya.

 

 

3. Teknologi canggih perlukan lebih perhatian?

Teknologi yang canggih seperti turbo memerlukan penjagaan yang sama sebenarnya, kerana pengeluar tahu tidak akan ada pengguna yang sanggup mengubah cara kegunaan kenderaan mereka.

Semua mahukan sesuatu yang lebih ringkas, dan ini ialah sesuatu yang logik dan normal.

Enjin aspirasi normal (tanpa turbo) menggunakan mekanikal yang lebih mudah dan dan lebih lasak. Ia tidak begitu cerewet, tetapi ia mempunyai batasan prestasi yang banyak dan "membosankan" jika kapasiti enjinnya kecil.

Turbo adalah jawapan terbaik kerana ia memberikan kuasa tinggi, dan bila dipandu perlahan, ia memberikan penggunaan bahanapi yang rendah.

Namun begitu, teknologi turbo juga bermaksud peningkatan suhu di ruang enjin dan sistem penyejukan perlu dipastikan dalam keadaan yang baik.

Penyelenggaraan menjadi sangat penting di mana pemilik perlu faham kenderaan perlu diservis pada sela masa yang dicadangkan.

Jika ada komponen yang perlu diganti, ia perlu diganti. Sikap "tunggu bajet ada dahulu" bermakna anda akan berdepan dengan kos pembaikan yang lebih tinggi nanti.

Jadi pastikan anda mempunyai kewangan yang mencukupi untuk memastikan kenderaan anda sentiasa dalam keadaan sempurna.

 

 


4. Perkhidmatan servis yang lebih cekap

Perkhidmatan servis adalah sangat penting bila kita mula menggunakan teknologi-teknologi canggih.

Latihan perlu diberikan kepada mekanik-mekanik agar mereka mampu bukan sahaja membaiki kerosakan, tetapi lebih penting lagi, memberi nasihat kepada pemilik cara penggunaan yang lebih tepat. 

Pusat servis tidak mempunyai masa yang panjang untuk sebuah kenderaan, maka ia akan mencari jalan paling ringkas untuk membaiki kerosakan.

Apa yang mungkin terjadi ialah kes-kes penukaran sekelompok komponen besar akan terjadi walhal ia boleh dibaiki dengan menggantikan satu atau dua komponen kecil.

Kerana itu, syarikat pengeluar perlu mempunyai pengalaman yang banyak di dalam penjagaan enjin-enjin dan transmisi modern.

Jika syarikat kenderaan premium yang berusia puluhan tahun pun masih ada yang terpaksa berdepan dengan masalah-masalah enjin-enjin canggih, adakah sebuah syarikat baharu tanpa rekod lampau mampu menjadi lebih baik?

Ini ialah soalan penting kerana akhirnya, duit akan keluar dari poket pemilik sendiri. 

 

 

5. Waranti yang lebih lama bermaksud anda tidak boleh servis di tempat lain  

Ini normal. Sekarang ini kita boleh lihat syarikat kenderaan menawarkan waranti sehingga lima tahun atau lebih.

Namun begitu, syarat waranti ialah anda perlu servis kenderaan itu hanya dengan pusat servis rasmi dan perlu tepat pada masanya.

Mungkin untuk enjin-enjin biasa, kita boleh berharap dengan mekanik luar jika kita tidak mampu dengan kos servis yang tinggi.

Jenama-jenama yang sudah lama juga mempunyai alatganti-alatganti dari pihak ketiga, atau "third party" yang jauh lebih murah.

Ada juga syarikat kenderaan yang mempunyai dua jenis alatganti - yang mahal kerana ia tahan lama, dan yang lebih mampu milik tetapi hanya akan bertahan separuh usia dari yang mahal.

Tetapi dengan enjin modern yang baharu, mekanik di luar pun belum tentu mampu membaikinya. Ini ditambah lagi dengan jenama yang tidak mempunyai sokongan alatganti dari sumber lain.

 

 

Semua kenderaan semasa baharu memang sedap, tetapi sekiranya kita mengambil pinjaman selama tujuh atau sembilan tahun, kita perlu fikirkan juga kos-kos bila kenderaan itu sudah melebihi tiga atau lima tahun kerana ketika itu, kos-kos pembaikan akan meningkat secara mendadak.

Ini belum lagi termasuk kos-kos lain seperti tayar, bateri dan sebagainya. Roda aloi bersaiz besar bermaksud kos tayar akan tinggi dan sistem "start/stop" yang menjimatkan bahan api tidak akan menjimatkan kos penggantian bateri. 

Tanyalah pemilik-pemilik kereta jenama mewah. Kenderaan mewah bukan kerana harganya yang mahal, tetapi kos penjagaan yang mahal dan paling penting, susut nilai yang tinggi yang hanya mampu diterima oleh pengguna berada.

Pembeli yang bijak akan mengenal-pasti sumber informasi mereka.

Jika kita mendengar pendapat kaki kereta, mereka mempunyai masa untuk pergi membaiki kenderaan mereka di segala ceruk rantau. Mereka tidak berfikir dua kali untuk berbelanja lebih bagi memastikan kenderaan mereka sempurna. 

 

 

Peminat Alfa Romeo contohnya, tidak pernah akan mengadu kenderaan mereka "manja" kerana keseronokan pemanduannya melebihi usaha untuk menjaga teman wanita Itali mereka itu.

Untuk pengguna yang hanya mahukan sebuah kenderaan harian, senario tersadai di tepi jalanraya bersama anak-anak kerana enjin/transmisi rosak, atau duduk termenung di pusat servis melihat jumlah kos pembaikan yang tinggi adalah perkara-perkara yang kita tidak mahukan.

Contohnya, semua kereta baharu akan hilang serinya selepas enam atau 12 bulan. Selepas itu, bau kereta baharu akan hilang dan kita sudah mula terfikir kos penjagaan selama tempoh pinjaman kita.

Jangan sampai benda yang lebih penting seperti simpanan tunai dan haji, insuran kesihatan dan pendidikan serta keperluan ibubapa kita diabaikan kerana hendak memastikan kita memandu kenderaan yang hebat.

Fikir-fikirkan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Selain daripada nama baharu, ia juga dijangka akan membawakan enjin serba baharu - nadi e-Skyactiv…
Berita Global
Berdasarkan laporan daripada OtoDriver, sumber itu memberitahu generasi baharu Agya/Alya yang juga…
Berita Global
Projek Turbo Study ini tampil dengan enjin boxer flat-six 3.8 liter turbo berkembar yang mampu…