APEX AP-0 - EV pacuan roda belakang, 650 hp, 580 Nm, jarak operasi 515 kilometer!

oleh Mohamad Hanif|
Pendatang baharu di dalam arena pembuatan kereta sports British, APEX telah hadir dengan sebuah model kereta sports baharu berkuasa elektrik sepenuhnya bagi melawan jentera-jentera seperti Lotus Evija, Pininfarina Battista dan Rimac C_Two.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

APEX AP-0 difahamkan bakal ditawarkan dengan harga jualan yang lebih murah apabila ia mula memasuki produksi bermula akhir tahun 2022. 

Kereta sports elektrik AP-0 ini direka dan dibangunkan oleh pasukan jurutera yang diketuai oleh bekas pereka Vauxhall, BMW dan Daewoo, Guy Colbourne. 
 


Sebagai sebuah kereta elektrik sepenuhnya, AP-0 dilengkapkan dengan motor elektrik yang diposisikan pada gandar belakang dengan keupayaan yang mampu menghamburkan 650 kuasa kuda dan 580 Nm.

Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 2.3 saat sahaja dengan halaju maksimum 305 km/j. 

Bateri 90 kWh pula membolehkan jentera ini bergerak sejauh 515 kilometer sekiranya dipandu dengan sopan santun, manakala kapasiti 80 peratus boleh dicapai sekitar 15 minit sahaja menggunakan pengecas pantas CCS. 

Pengecas konvensional Type 2 pula mampu memberikan kapasiti yang serupa dalam masa lapan jam. 
 


Dari segi luaran, APEX AP-0 banyak mengambil inspirasi daripada jentera lumba Le Mans, seperti contoh sirip belakang bersaiz gergasi, cermin bumbung berbentuk teardrop, serta set rim bersaiz 19 inci hadapan dan 20 inci di belakang. 

Casis jentera AP-0 ini diperbuat daripada gentian karbon dan mempunyai berat sekitar 1,200 kg sahaja yang turut merangkumi pek bateri berkapasiti 90 kWH seberat 550 kilogram. 

Sistem suspensi APEX AP-0 ini menggunakan suspensi jenis push-rod yang menampilkan penyerap hentak adaptif dan pelarasan ketinggian automatik. 
 


Brek pula menggunakan unit cakera seramik karbon dengan angkup enam omboh di bahagian hadapan dan empat omboh di bahagian belakang. 

Seperti casis yang direka supaya ringan, ruang kabin juga turut direka supaya tidak memberikan kesan kepada berat keseluruhan kereta sports ini. 

Tempat duduk jenis bucket diperbuat daripada gentian karbon, manakala stereng pula daripada kombinasi aluminium dan gentian karbon. 
 


Segala fungsi kenderaan boleh diakses menerusi dial rotary yang didatangkan pada roda stereng, atau menerusi skrin sentuh di bahagian tengah.

Tidak dilupakan, sistem paparan head-up augmented reality dan ciri race instructor yang akan memaparkan titik brek dan garisan pemanduan ideal demi membantu pemandu untuk membiasakan diri dengan litar tersebut. 

APEX turut melengkapkan sistem bantuan keselamatan terkini yang memenuhi piawaian pemanduan autonomi Tahap Ketiga (Level 3) seperti brek kecemasan automatik, kawalan pelayaran adaptif dan bantuan kekal laluan. 
 


Malah, APEX juga turut mengesahkan ia mampu dinaiktaraf kepada sistem autonomi Tahap Keempat (Level 4) bila tiba masanya. 

Harga jualan bermula dari £150,000 (RM800 ribu). 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Difahamkan, varian off-road Apex ini akan menggantikan Hilux Rugged X - sebuah model yang…