APMM tunda kapal hantu elak berlanggar dengan pelantar minyak PETRONAS

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Sebuah kapal tanpa kru yang hanyut ketika berada dalam perairan Vietnam dan berpotensi melanggar pelantar minyak milik Petronas di perairan Terengganu semalam, ditunda ke satu lokasi selamat hari ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata APMM menerima laporan daripada sebuah syarikat perkapalan Indonesia bahawa kapal miliknya LIMIN ROSMINA telah terputus tali tunda semasa menunda kapal WINPOSH RAMPART tanpa kru pada kira-kira 3.15 petang semalam.

Menurutnya, kedua-dua kapal terbabit berada di dalam perairan Vietnam iaitu di kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu, ketika dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju ke Yang Pu, China.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata tali tunda itu terputus ekoran cuaca buruk lalu WINPOSH RAMPART hanyut hingga memasuki perairan Malaysia.

“Analisis penilaian risiko mendapati kapal WINPOSH RAMPART berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan bagi menanganinya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya APMM telah mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal WINPOSH RAMPART ke lokasi yang lebih selamat.

Aset terlibat dalam operasi adalah Kapal Maritim (KM) JUJUR dan pesawat AW139 bersama enam anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang digerakkan ke lokasi kapal berkenaan hanyut untuk memberi bantuan, manakala Petronas pula menghantar kapal ICON LOTUS dan SK PILOT, katanya.

Beliau berkata PTK APMM telah diatur gerak bersama pesawat AW139 bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut dan risiko kebarangkalian melanggar pelantar.

Mohd Zubil berkata anggota PTK telah diturunkan dari pesawat AW139 ke atas kapal WINPOSH RAMPART sekitar pukul 3.30 petang hari ini bagi mengurus dan melakukan proses menambat kapal tersebut untuk ditunda oleh kapal ICON LOTUS.

Menurutnya, WINPOSH RAMPART sedang ditunda oleh ICON LOTUS dan dalam perjalanan menghala ke Kemaman Supply Base, Terengganu yang dijangka mengambil masa hampir 65 jam untuk tiba.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Setibanya bot ronda APMM di lokasi tersebut, didapati bot anchor serta lori tangki berada…
Berita Domestik
"Ketika cuba dirapati, bot nelayan tersebut tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri…
Berita Domestik
    Menurutnya, daripada jumlah itu, perairan Terengganu paling banyak melakukan pelupusan iaitu…