Aprilia Tuareg 660 hadir dengan nadi parallel-twin 659 cc yang sama didapati pada model RS 660 dan Tuono 660, namun dengan talaan kuasa setinggi 80 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 67 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan klac slipper.
Suspensi jentera ini menggunakan komponen Kayaba boleh laras yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 43 mm dan penyerap hentak tunggal, di mana kedua-duanya menawarkan jarak pergerakan suspensi 240 mm.
Sistem brek pula didatangkan dengan angkup Brembo empat omboh dan cakera berkembar 300 mm di hadapan, sementara bahagian belakang pula hadir dengan angkup brek omboh tunggal dan rotor 260 mm, dibantu dengan ciri ABS dua saluran.
Ketinggian pelana pula adalah sekitar 860 mm sementara kapasiti tangki bahan api pula adalah sebesar 18.2 liter.
Segala informasi boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT-LCD bersaiz lima inci, di mana ia turut menawarkan sehingga empat mod tunggangan yang boleh disesuaikan untuk laluan off-road atau jalan biasa.
Selain itu, Aprilia Tuareg 660 juga turut hadir dengan ciri keselamatan seperti Kawalan Cengkaman, Kawalan Jelajah, Pemetaan enjin dan juga Brek Enjin.
Harga jualan Aprilia Tuareg 660 bermula dari RM75,900.