Arcimoto, Lightning bangunkan trike elektrik terpantas di dunia!

oleh Mohamad Hanif|
Arcimoto berkolaborasi dengan Lightning Motorcycles untuk membangunkan sebuah motosikal tiga roda sendeng (tilting trike) terpantas di dunia berkuasa elektrik.

Arcimoto merupakan sebuah syarikat yang sudah pun terkenal dengan barisan kenderaan elektrik tiga roda mereka, dan baru-baru ini telah pun memperoleh Tilting Motor Works yang memiliki kepakaran menukarkan motosikal biasa kepada sebuah trike sendeng yang lebih stabil menggunakan kit khas TRiO.

Sementara Lightning Motorcyles pula terkenal dengan motosikal produksi terpantas di dunia, iaitu LS-218 - sebuah motosikal elektrik berkuasa 200 hp, daya kilas 228 Nm serta memecahkan rekod kelajuan tertinggi 351 km/j di Booneville Salt Flats pada tahun 2011.

Dalam pengumuman terbaharu ini, kedua-dua syarikat itu akan menukarkan motosikal LS-218 dengan menggunakan kit TRiO yang disebutkan itu tadi sekaligus menjadi trike sendeng terpantas di dunia.

Trike itu akan dipamerkan secara rasmi pada 26 Julai ini bertempat di Portland International Raceway sebelum membuka tempahan kit TRiO LS-218 secara rasmi pada tarikh yang sama.

 

Lightning LS-218
Arcimoto Rapid Responder
Tilting Motor Works

Bayangkan motosikal LS-218 dengan konfigurasi tiga tayar. Menarik untuk kita nantikan hasilnya.