Bersempena dengan ASEAN Road Safety Week 2021 (ARSW '21), Bosch telah bekerjasama dengan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mempersembahkan teknologi inovatif yang mampu menjadikan jalan raya Malaysia yang lebih selamat.
Antara perkara yang diberikan tumpuan adalah sistem bantuan pemandu.
Ini kerana lebih 90 peratus kemalangan adalah disebabkan kesilapan manusia seperti situasi atau risiko yang tidak dinilai dengan tepat, serta pemandu yang lambat bertindak dengan tepat.
Bosch telah membangunkan pelbagai jenis sistem bantuan pemandu pintar seperti brek kecemasan automatik (AEB) yang menggunakan jaringan penderia di dalam program kestabilan kenderaan (ESP) bagi mengurangkan kemungkinan pelanggaran.
Jika pemandu gagal bertindak dengan sewajarnya, AEB akan mengaplikasikan brek penuh untuk mengurangkan pelanggaran, atau setidak-tidaknya intervensi bagi meminimumkan impak terhadap kenderaan, serta kecederaan kepada pemandu dan penumpang.
Salah satu faktor penting di dalam teknologi bantuan pemandu ini adalah penderia radar hadapan yang menyokong bukan sahaja AEB, akan tetapi pelbagai ciri lain seperti kawalan jelajah adaptif, serta pengesanan papan tanda jalan raya, serta kamera yang mampu mengesan objek dan pejalan kaki.
Satu lagi komponen penting di dalam ESP adalah pengelakan gelinciran (skid prevention), di mana penderia pintar akan menganalisa data pergerakan kenderaan serta putaran stereng sebanyak 25 kali dalam masa sesaat.
Sekiranya data tersebut tidak sepadan, sistem anti-gelincir akan mula bekerja mengurangkan daya kilas enjin, atau mengaplikasikan daya brek pada tayar yang diperlukan untuk memastikan kenderaan kekal pada laluan yang benar.
Sejak 1 November 2014, ciri ESP telah diwajibkan untuk kenderaan baharu serta kenderaan komersial ringan (berat sehingga 3.5 tan metrik) di Eropah.
Manakala sistem anti-gelincir pula turut diwajibkan pelaksanaannya di Australia, Kanada, Israel, New Zealand, Russia, Korea Selatan, Jepun, Turki dan Amerika Syarikat.
Di ASEAN, Malaysia merupakan negara pertama yang mewajibkan penggunaan ESP bermula tahun 2018.
Satu lagi ciri yang ditekankan oleh Bosch adalah iBooster, sistem brek dinamik yang mampu menyalurkan tekanan brek tiga kali lebih pantas berbanding sistem ESP tipikal, dengan kadar ketepatan dikawal secara elektronik.
Manfaat sistem iBooster ini adalah jarak pemberhentian yang lebih dekat terutama ketika brek kecemasan automatik diaktifkan, serta sesuai digunakan untuk kesemua konfigurasi trenkuasa termasuklah hibrid dan kenderaan elektrik.