Artisan Vehicle Design jelmakan semula elemen R34 dalam badan GT-R R35

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai salah seorang daripada peminat GT-R, penulis secara peribadi kurang gemar dengan pendekatan yang dibawakan pada generasi R35.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bukan sahaja nama Skyline telah digugurkan, rekaannya juga kini tidak lagi mengikuti elemen yang dibawakan pada model-model Skyline GT-R terdahulu seperti R32, R33 dan R34.

Berita baik, jika anda mahu menghidupkan semula elemen rekaan R34 dengan pendekatan yang lebih moden, Artisan Vehicle Design ada jawapannya.
 

R34


Bermula dari casis GT-R R35 sebagai asas, pihak Artisan Vehicle Design telah menggantikan panel asal dengan panel badan gentian karbon, unit lampu berbentuk segi empat, rekaan jeriji yang lebih lebar, serta hud enjin berliang yang lebih agresif.

Unit lampu belakang juga telah diberikan nafas baharu, di mana ia kini lebih mirip dengan rekaan yang wujud pada model R34.

Selain itu, bahagian tersebut telah dikemaskan dengan unit diffuser yang besar, unit lampu brek ketiga ala F1, dua tip ekzos yang menggantikan tetapan kuad ekzos pada model sedia ada, diikuti dengan sayap belakang yang agresif.
 

R35


Artisan menawarkan R35 yang diubahsuai ini dengan unit enjin bentangan V6 3.8 liter turbo berkembar, di mana terdapat dua pilihan talaan sehingga 800 hp untuk versi Track, atau sehingga 1,000 hp untuk versi Ultimate.

Selain talaan enjin, pihak Artisan juga mahu memastikan sistem brek, tayar dan suspensi dinaiktaraf supaya dapat menampung peningkatan kuasa yang signifikan itu, tidak ketinggalan sistem ekzos yang mampu menghasilkan runut bunyi yang lebih garang.

Difahamkan, pihak Artisan Vehicle Design akan menghasilkan R35 yang unik ini sebanyak 36 unit sahaja, menjadikannya jauh lebih terhad berbanding GT-R50 yang dihasilkan oleh ItalDesign.
 

R35


Harga pula bermula dari £369,000, atau RM2,175,678 berdasarkan kadar pertukaran matawang semasa.

Sumber: Top Gear, Japanese Nostalgic Car