ASEAN perlu strategi bersatu tingkatkan industri EV, kata CEO Yinson

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
ASEAN memerlukan strategi bersatu untuk meningkatkan industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Holdings Bhd (Yinson) Lim Chern Yuan.

Bercakap pada sesi perbincangan panel bertajuk "Pelan Hala Tuju Pelaksanaan EV ASEAN" di ASEAN Economic Opinion Leaders Conference hari ini, Lim berkata penting bagi rantau ini untuk bergerak melangkaui model yang tertumpu kepada pemasangan dengan nilai tambah rendah selain mencipta pekerjaan bergaji rendah.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

"Kita perlu beralih ke arah bidang bernilai tinggi seperti semikonduktor, bateri dan kejuruteraan perisian," katanya.

Lim menegaskan industri semikonduktor Malaysia sebagai penyumbang penting kepada ekosistem EV selain menekankan langkah strategik Indonesia untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran bateri disebabkan rizab nikel yang besar di negara itu.

"China membangunkan rangkaian bekalan sepenuhnya disebabkan oleh pasaran domestiknya yang kukuh dan ASEAN mesti mengambil pendekatan menyeluruh dengan memutuskan negara mana yang memberi tumpuan kepada sektor tertentu daripada bersaing antara satu sama lain.

"Dasar lain yang berpecah-belah hanya akan menghalang keupayaan kita untuk bersaing di peringkat global," katanya.

Lim juga menekankan pentingnya meningkatkan permintaan domestik untuk EV di seluruh ASEAN, dengan menyatakan ia langkah penting untuk menarik pelaburan dan membangunkan ekosistem EV serantau.

"Contohnya di Taiwan, terdapat sokongan yang kuat untuk stesen penukaran bateri dan ekosistem selepas jualan, termasuk kedai penyelenggaraan untuk motosikal EV dan ini merupakan pendekatan yang perlu dipertimbangkan oleh negara ASEAN untuk membina keyakinan pengguna," katanya.

Selain gesaan peralihan ke arah industri bernilai tinggi, Lim menggalakkan negara-negara ASEAN untuk melabur dalam bidang seperti kejuruteraan perisian untuk sistem bantuan pemandu (ADAS) lanjutan dan teknologi tenaga boleh baharu, bukannya sekadar mencontohi pendekatan China.

"ASEAN mesti mencontohi inisiatif sebegini untuk membina keyakinan pengguna dan menarik pelaburan dalam sektor EV," kata Lim.

Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd iaitu anak syarikat Yinson, terlibat dalam membangunkan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Malaysia adalah lokasi yang sangat menarik, kita adalah pengeksport produk semikonduktor keenam…
Berita Domestik
"Kabinet baru-baru ini memutuskan (penggunaan EV). Mari kita tunjukkan di Malaysia semua kenderaan…
Berita Global
Hab baharu itu akan menjadi sebuah kemudahan pengecasan pantas awam terbesar di Asia Tenggara, kata…