Aston Martin A3 Vantage Roadster - penghormatan buat casis nombor tiga Aston Martin A3

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai penghormatan kepada model yang paling lama bertahan, Aston Martin telah melancarkan varian khas Vantage Roadster yang dikenali dengan nama A3 Vantage Roadster.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Aston Martin A3 merupakan sebuah casis bernombor tiga yang dihasilkan kira-kira 100 tahun yang lalu di fasiliti Abingdon Road, Kensington, London merangkap salah satu daripada lima buah model prototaip yang dihasilkan.

Pada ketika itu, A3 hanya dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter yang menghasilkan 11 hp, namun jentera ini berjaya mencatatkan rekod di Essex Motor Club Kop Hill Climb pada tahun 1922 diikuti rekod kelajuan tertinggi 136 km/j di litar Brooklands pada tahun berikutnya.

 


Semenjak daripada itu, Aston Martin A3 terus dipegang oleh Aston Martin Heritage's Trust dan direstorasikan kepada kondisi asal.

Kembali kepada Aston Martin A3 Vantage Roadster, model ini didatangkan dengan kemasan unik seperti panel fender sisi yang dihiasi dengan tali kulit yang mengambil inspirasi daripada bonet aluminium terdedah A3.

 


Bahagian hadapan ini menampilkan rekaan gril yang unik dikelilingi dengan kemasan aluminium dan rekaan mesh berbentuk petak hitam.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim tempa ringan bersaiz 20 inci hitam berkilat, diikuti dengan angkup brek berwarna gangsa.

 


Sementara ruang kabin pula menempatkan tempat duduk balutan kulit berliang mikro, skrip klasik Aston Martin, serta kemasan tembaga pada beberapa tempat yang menyamai model asal A3.

Hanya tiga unit sahaja A3 Vantage Roadster akan dihasilkan oleh divisyen Q by Aston Martin.