Pembangunan dan Konsep Model
Pada awal 1990-an kereta dengan penggunaan bahan api tiga liter diumumkan sebagai matlamat pembangunan oleh Kumpulan Volkswagen dan Audi.
Kerja pertama projek ini bermula tidak lama selepas itu. Pereka di Ingolstadt bekerja rapat dengan pakar di pusat aluminium di Neckarsulm.
Pada Mei 1995 mereka mempersembahkan kajian konsep bernama Ringo yang menampilkan Audi Space Frame (ASF) yang kurang rumit berbanding ASF Audi A8 yang kebanyakannya dibina dengan tangan.
Stefan Sielaff bekas ketua studio reka bentuk Audi Munich mengambil alih projek dan mengetuai reka bentuk dalaman manakala Luc Donckerwolke mengendalikan bahagian luaran.
Bersama Gerhard Pfefferle mereka menghasilkan badan dua pintu untuk rolling cage Ringo yang hampir dengan reka bentuk akhir.
Seiring pembangunan dua kajian telah dihasilkan. Unit pertama ialah Al2 Light Green show car di IAA Frankfurt 1997.
Unit kedua iaitu Al2 open end Light Blue dibawa ke Pameran Motor Tokyo 1997 dan merupakan varian tiga pintu Al2 dengan ruang kargo yang boleh diubah dan bumbung suria boleh ditarik.
Reaksi orang ramai terhadap kedua-dua kajian itu berbeza-beza. Sesetengah orang bersemangat tentang reka bentuk progresif manakala yang lain tidak menyukainya.
Pasukan pembangunan sudah menjangkakan hasil kerja mereka akan memecahbelahkan pendapat seperti yang dikongsi Pengurus Projek Al2, Harald Wester dalam wawancara bersama Dirk-Michael Conradt penulis buku Audi A2 – Meilenstein und Kultobjekt.
Wester berkata dalam buku itu;
"Ya ia jelas kepada kami semua dari awal. Kereta itu perlu dioptimumkan secara aerodinamik. Kami biasanya tidur di terowong angin untuk mencapai aerodinamik yang optimum."
Pada November 1997 Lembaga Pengurusan meluluskan pengeluaran siri. Tayangan perdana dunia Audi A2 dijadualkan berlangsung sekali lagi di IAA, hanya dua tahun selepas acara sebelum itu.
Rancangan ini mencabar tetapi pereka dan jurutera dapat mematuhi jadual tersebut.
Kejuruteraan Badan Kekuatan Aluminium
Di IAA pada September 1999, A2 versi produksi diperkenalkan kepada dunia.
A2 merupakan kereta kompak pertama dalam sejarah automotif moden dengan kerangka badan dibina sepenuhnya daripada aluminium.
Struktur badan A2 termasuk kesemua empat pintu dan pintu but hanya seberat kira-kira 153 kg (kilogram) iaitu sekitar 60 peratus daripada berat badan keluli setara bagi sebuah sedan konvensional.
Audi A2 dengan panjang 3.83 meter, lebar 1.67 meter dan tinggi 1.55 meter menawarkan ruang yang luas untuk penumpang walaupun dimensi luaran kecil.
Pengeluaran A2 berjalan di kilang Neckarsulm. Kemudahan pengeluaran baharu telah dibina khusus untuk A2 dan dirasmikan pada 15 November 1999 iaitu tarikh yang sama A2 1.2 TDI diumumkan.
Rangkaian Enjin dan Kecekapan Terbaik
Sebanyak dua enjin petrol dan tiga enjin diesel ditawarkan sepanjang kitaran hayat Audi A2.
Pada pelancaran pasaran 30 Jun 2000, enjin petrol dan enjin TDI masing-masing berkuasa 75 hp telah tersedia.
Model Petrol
- Kedua-dua model petrol dikuasakan enjin empat silinder sebaris.
- Tersedia dengan transmisi manual lima kelajuan dan pacuan roda hadapan.
- Penggunaan bahan api gabungan 5.9 liter per 100 km.
Model Diesel
- Model A2 diesel menggunakan enjin tiga silinder dengan sistem suntikan terus pam-pemancit (Pumpe-Düse / PD).
Audi A2 1.2 TDI
Prestasi dan Kecekapan Bahan Api
- Model paling cekap bahan api ini mula dijual pada Mac 2001.
- Enjin turbodiesel suntikan terus ini dibuat sepenuhnya daripada aluminium.
- Enjin ini menjana 61 hp (kuasa kuda).
- Ia hanya memerlukan 2.99 liter diesel per 100 km.
Transmisi
-
Transmisi automatik lima kelajuan menggunakan sistem elektrohidraulik untuk mengendalikan fungsi klac.
Rekaan Ringan (Lightweight Design)
- Penggunaan komponen tambahan yang diperbuat daripada aluminium, roda ringan tempa aluminium khas dan kerusi belakang dengan berat yang dioptimumkan membolehkan pengurangan berat sebanyak 135 kilogram berbanding versi asas.
- Ini menyumbang kepada berat kosong 855 kg.
Aerodinamik dan Seretan (Drag Coefficient)
-
Pekali seretan (Cd) 0.25 dicapai melalui pengoptimuman aerodinamik.
-
Pengoptimuman aerodinamik merangkumi:
- Penutup separa pada pengambilan udara sejuk hadapan.
- Tayar yang lebih langsing.
- Aliran udara yang dioptimumkan melalui alur di dinding sisi.
- Penutup lengkungan roda dan penutup roda yang disesuaikan.
- Panel bahagian bawah badan tambahan yang membolehkan aliran udara bebas gelora.
Edisi Khas colour.storm
Pada tahun 2002 Audi menambah enjin FSI 1.6 liter berkuasa 110 hp dan membolehkan A2 mencapai kelajuan tertinggi lebih 200 km/j.
Bermula Mac 2003, Audi menawarkan A2 edisi khas colour.storm dalam warna Imola yellow, Misano red pearl effect, Sprint blue pearl effect dan Papaya orange.
Bahagian dalaman dengan koordinasi warna hitam kusam yang digunakan pada riasan bumbung dan riasan lengkungan roda mencipta kontras yang menarik.
Model ini boleh digabungkan dengan pelbagai pilihan tambahan termasuk empat daripada lima jenis enjin kecuali 1.2 TDI.
Bersara 2005, Kerjaya Kedua
A2 tidak mencapai jangkaan jualan dan Audi menghentikan pengeluaran pada tahun 2005 selepas kira-kira lima tahun dan 176,377 unit dibina.
Namun, Audi A2 yang inovatif kini beralih ke kerjaya kedua sebagai klasik moden dengan ciri-cirinya yang tersendiri dan nilai yang stabil.
A2 mempunyai sekumpulan peminat yang setia dan masih dapat dilihat di jalan raya hari ini sebagai teman harian.
Data Pengeluaran Audi A2
- Audi A2 1.4 (Petrol 75 ps): 81,649 unit (2000–2005)
- Audi A2 1.4 TDI (Diesel 75 ps): 69,676 unit (2000–2005)
- Audi A2 1.6 FSI (Petrol 110 ps): 11,081 unit (2002–2005)
- Audi A2 1.4 TDI (Diesel 90 ps): 7,416 unit (2001–2005)
- Audi A2 1.2 TDI (Diesel Cekap 61 ps): 6,555 unit (2000–2005)
Penulis: Muhammad Md Tajudin