
China merupakan pasaran kereta terbesar dunia dengan jualan kereta penumpang mencecah 26.063 juta buah pada 2023.
Satu perkembangan terbaru dinamika pasaran China ialah apabila Audi mempertingkatkan hubungan dengan SAIC dan SAIC Volkswagen melalui Perjanjian Kerjasama pada 20 Mei.
Kumpulan Volkswagen dengan SAIC bukan asing dan telah bekerjasama selama berdekad dan ditunjukkan melalui lima kilang dan sejumlah model termasuk ID.4 X.
Audi dan SAIC bersetuju membangunkan secara bersama model baharu berasaskan pelantar khusus untuk China iaitu Advanced Digitized Platform.

Kerjasama bermula dengan tiga model kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam segmen B dan C dan memasuki pasaran EV di China dengan pantas.
Satu yang menarik kerana VW sendiri mempunyai sejumlah model BEV dalam siri ID selain sedang membangunkan EV kompak dengan sasaran harga 25,000 euro.
Tidak dinafikan, Audi hanya menawarkan empat model BEV berbanding sejumlah lagi yang menggunakan enjin pembakaran (ICE) dalaman termasuk hibrid.
Dari sini boleh dipelajari berada di dalam satu kumpulan tidak bermakna sesebuah jenama perlu berkongsi dan mungkin di atas faktor strategik bekerjasama dengan pihak ketiga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Audi AG, Gernot Döllner, produk yang dibangunkan akan mempunyai DNA Audi yang jelas dan beberapa lagi termasuk teknologi EV terkini.
SAIC Motor pula bukan calang-calang dengan sejumlah jenama seperti MG, Roewe, IM, Maxus, Wuling dan beberapa lagi.
SAIC mempunyai sejumlah BEV merentasi pelbagai model di bawah kumpulannya.
Seperkara menarik, SAIC baru sahaja melantik Jozef Kaban sebagai Naib Presiden Reka Bentuk Global di Ibu Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan (SRIH).

Jozef Kaban adalah bekas Ketua Pereka Luaran Audi dan lama berkhidmat bersama Kumpulan Volkswagen. Beliau adalah pereka Bugatti Veyron.
Langkah kerjasama ini sebahagian daripada strategi in China for China Kumpulan Volkswagen termasuk pembelian pegangan di dalam Xpeng.
Kerjasama dengan SAIC membolehkan Audi mengembangkan penawaran BEV di China dan memendekkan masa ke pasaran sehingga lebih 30 peratus dengan model pertama pada 2025.
Pantas bukan? Berbaki 18 bulan adakah model ini diambil dari SAIC atau perkongsian seperti smart di mana Mercedes-Benz menguruskan reka bentuk dan Geely bahagian teknikal.

Fermín Soneira dari Audi yang merupakan bekas Ketua Produk Siri Model Elektrik (segmen A sehingga C) dilantik sebagai CEO di dalam kerjasama ini.
Sebelum pengumuman ini dibuat, Audi memperkenalkan Q6L e-tron di Auto China pada 25 April dan model yang dibangunkan khusus untuk pengguna di sana.
Q6L e-tron adalah model terbaru siri L Audi dengan ukuran jarak roda bertambah 105 milimeter (mm) dan jarak pemanduan melebihi 700 kilometer (km) (CLTC).
Jarak itu lebih jauh berbanding model global dan selain perubahan kosmetik dan jarak roda, Q6L e-tron juga ditawarkan dalam warna khusus untuk China di antaranya Lilac Grey.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
