Model empat pintu Gran Turismo ini dibangunkan untuk memperlihatkan kepada umum bayangan model prestasi berkuasa elektrik untuk jenama Audi pada masa hadapan, dan e-tron GT ini disasarkan produksinya bermula lewat tahun 2020.
e-tron GT mempunyai rekaan platform serba rata yang menjadi perumah kepada unit pek bateri 90 kWh dan ia mampu memberikan jarak sejauh 400 km (mengikut kiraan WLTP).
Turut menyumbang kepada jarak operasi yang jauh itu adalah casis yang serba ringan menggunakan binaan pelbagai material seperti karbon, aluminium dan keluli berkekuatan tinggi.
Dengan konfigurasi dua buah motor (satu untuk setiap gandar), e-tron GT mampu menjana sehingga 590 kuasa kuda dengan kuasa pecutan sepantas 3.5 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.
Sistem bateri 800V yang diperoleh daripada hasil teknologi Porsche ini membantu tempoh pengecasan yang singkat, iaitu 20 minit sahaja untuk mencapai kapasiti 80%.
Ruang kargo yang ditawarkan juga amat luas, di mana para pembeli boleh mendapatkan manfaat daripada ruang 100 liter di hadapan dan 450 liter di belakang.