
Reka Bentuk Berani & Minimalis
Mengambil inspirasi daripada kereta perlumbaan legenda Auto Union Type C, Concept C menampilkan wajah jenama Audi yang serba baharu. Gril berbentuk segi empat dengan orientasi menegak menjadi ciri radikal yang berbeza daripada rekaan Audi sedia ada, digandingkan dengan lampu utama nipis empat elemen yang bakal menjadi identiti visual baharu syarikat.

Bahagian sisi menonjolkan garis tajam dan permukaan tegang, disertai bahu yang jelas kelihatan sepanjang badan kereta. Ia juga dilengkapi roda aerodinamik dan skirt sisi sporty yang menyerlahkan imej agresif.

Bumbung Retractable Pertama Untuk Roadster Audi
Ciri utama pada Concept C adalah bumbung hardtop boleh lipat, pertama kali digunakan pada roadster Audi. Mekanismenya mirip sistem Porsche 911 Targa, di mana bumbung bersegmen dua disimpan ke bahagian belakang melalui bukaan hatch. Ia menawarkan kelebihan kereta convertible tanpa mengorbankan gaya dan keselamatan coupe.

Di belakang, rekaan kelihatan ringkas dengan diffuser lebar dan lampu belakang empat elemen, manakala cermin belakang digantikan dengan kamera digital.
Kabin Minimalis Dengan ‘Shy Tech’
Bahagian dalaman mengekalkan pendekatan minimalis. Stereng direka semula dan kluster meter digital menjadi tumpuan utama. Konsep ‘shy tech’ diaplikasikan dengan skrin infotainmen 10.4 inci yang boleh disembunyikan apabila tidak digunakan, mengurangkan gangguan visual.

Audi turut menggunakan kawalan iklim digital, kemasan aluminium anodized, pencahayaan ambien, dan upholstery kain bergaya sebagai alternatif kepada kulit.

Menuju Model Produksi 2027
Walaupun masih sebuah kajian konsep, Audi mengesahkan ia adalah “concrete preview” kepada kenderaan produksi. Model tersebut akan dihasilkan di kilang Böllinger Höfe dengan pelancaran dijangka pada tahun 2027.
Selain itu, rekaan luar dan dalam Concept C bakal mempengaruhi barisan model Audi lain pada masa depan. Tahun depan, Audi merancang memperkenalkan EV entry-level dari kilang Ingolstadt, manakala tahun 2026 akan menyaksikan kemunculan model prestasi baharu seperti S6 dan RS6 Avant.
Sumber: Carscoops