Audi RS 4 Avant Competition wagon edisi terhad, 450 PS dan 600Nm!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Audi RS4 Avant Competition
Audi RS4 Avant Competition
Pada Mei 2022 Audi memperkenalkan Audi RS 4 Avant (wagon) dan Audi RS 5 dengan pakej competition dan competition plus yang meningkatkan lagi karakter sporti kedua-dua model hebat ini.

Di United Kingdom, model ini tampil eksklusif dengan jumlah terhad 75 unit dan kesemuanya versi RS 4 Avant sahaja.

RS 4 Avant sama seperti RS 2 Avant sebelum ini adalah sebuah kereta berprestasi yang menyamar dalam bentuk wagon.

Perubahan yang dibuat untuk RS 4 Avant Competition bukan sekadar kosmetik dan merangkumi prestasi dan pengendalian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Audi RS 4 Avant with competition plus package - Bukan model UK
Audi RS 4 Avant dengan competition plus package - Bukan model UK

 

Wagon buas ini digerakkan enjin 2.9 liter V6 biturbo dengan kuasa 450 PS dan daya kilas 600Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm.

Perisian unit kawalan transmisi dikemaskini dan hasilnya tukaran gear lebih pantas dan pecutan bertambah tangkas.

Pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan 3.9 saat atau 0.2 saat lebih pantas berbanding model standard. 

Kelajuan maksimum ditingkatkan kepada 290 km/j daripada 280 km/j dan merupakan model RS 4 Avant terpantas di dalam varian sedia ada.

 

Audi RS 4 Avant with competition plus package - Bukan model UK
Audi RS 4 Avant dengan competition plus package - Bukan model UK

 

Ekzos RS Sports Exhaust System Plus baharu dipasang dengan muncung hitam kusam dan dibangunkan khusus untuk model ini.

Bunyi kereta lebih garing di dalam kabin dan di luar yang bukan sahaja berpunca dari ubah suai tetapi turut disumbang oleh pengurangan penebat bunyi.

Hasilnya berat tanpa penumpang (kerb weight) berkurang sekitar lapan kilogram.

Untuk pengendalian, suspensi asal diganti dengan RS Sport Suspension Pro dan ianya dibuat bagi memaksimumkan prestasi pengendalian tanpa menjejaskan kegunaan harian.

Dari segi ukuran, RS 4 Avant Competition 10 mm lebih rendah berbanding model biasa dan boleh direndahkan lagi sebanyak 10 mm.

 

Audi RS 4 Avant with competition plus package - Bukan model UK
Audi RS 4 Avant dengan competition plus package - Bukan model UK

 

Suspensi model ini boleh dilaras secara manual untuk pemandu mengutamakan keselesaan atau pengendalian seperti yang diperlukan.

Pegas juga berbeza dengan kadar kekenyalan lebih tinggi selain peredam boleh dilaras dengan tiga hala. Turut berubah ialah palang antigoleng yang lebih tegar.

Selain perubahan pada suspensi, stereng ditetapkan pada nisbah 1:13.1. Tahap larasan pembeza (differential) quattro ditingkatkan terutama sekali pada mod pemanduan dinamik.

Data baharu dimasukkan pada unit kawalan dengan paramater baharu yang lebih fokus pada gandar belakang.

Perisian unit kawalan enjin turut diperkemaskan dan hasil pelarasan semula pakej casis menghasilkan pemanduan yang lebih baik dan jitu.

 

Audi RS 4 Avant with competition plus package - Bukan model UK
Audi RS 4 Avant dengan competition plus package - Bukan model UK

 

Pada bahagian luar, RS 4 Competition pasaran UK hanya didatangkan dalam warna Sebring Crystal Black berbanding beberapa pilihan warna untuk pasaran lain. 

Warna itu adalah penghormatan kepada ulang tahun ke-10 kemenangan pertama Audi di dalam World Endurance Championship di Sebring pada 2012.

Komponen seperti splitter depan, cermin sisi, laluan udara bampar dan diffuser belakang dibuat dalam kemasan karbon kusam.

Roda Competition saiz 20 inci dipasang dan dipadan bersama tayar Pirelli P Zero Corsa.

Pada bahagian dalam, kerusi RS Sports menggunakan riasan sisi hitam kilat dan kombinasi kulit dan upholstri Dinamica corak sarang lebah yang eksklusif untuk model ini sahaja.

 

Audi RS 5 Coupé with competition plus package - Bukan model UK
Audi RS 5 Coupé dengan competition plus package - Bukan model UK

 

Lagi sentuhan istimewa ialah sulaman merah pada alas kaki, konsol tengah dan perehat ringan pada pintu dan bucu merah pada tali pinggang keledar.

Model ini juga eksklusif dengan stereng bentuk D dan dibalut Alcantara. 

Lagi kelengkapan yang dipertingkatkan ialah sistem bunyi Bang & Olufsen 3D, kamera 360 darjah dan lampu dalaman LED pelbagai warna.

Harga di UK? Dari £84,600 (RM455,546) sahaja.

Penulis: Muhammad Md Tajudin