Audi RS Q8 2022 kini di Malaysia, 600 PS, 800 Nm, dari RM1,699,990

oleh Mohamad Hanif|
Pihak PHS Automotive Malaysia (PHSAM) baru-baru ini melancarkan SUV yang paling berkuasa Audi RS Q8 untuk pasaran tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dijana dengan enjin 4.0 liter biturbo bentangan V8 TFSI, Audi RS Q8 ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 600 PS dan 800 Nm yang masuk penuh antara julat putaran enjin 2,200 rpm-4,500 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat menjadikannya sebaris dengan mana-mana kereta sports lain, selain mampu mencapai kelajuan tertinggi 305 km/j.
 

RS


Tidak menghairankan apabila SUV ini pernah menjadi model terpantas di Litar Nurburgring untuk dua tahun berturut-turut.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda quattro sepenuh masa menerusi transmisi lapan nisbah kelajuan, dikawal dengan ciri wheel-selective torque control, serta sistem active torque vectoring dan quattro sport differential.

Aspek gantungan SUV pantas ini menggunakan sistem suspensi udara adaptif sport yang direka khusus untuk model RS, dengan tetapan peredam yang mementingkan tahap keselesaan dan sporti, manakala tahap olengan badan pula dikawal oleh sistem pengimbangan olengan aktif elektromekanikal (EAWS).

Tidak cukup dengan itu, pemandu boleh menetapkan kawalan pada pengurusan enjin, transmisi, input stereng, suspensi udara, kawalan stereng semua roda, serta bunyi enjin menerusi sistem Audi drive select dengan lapan profil disediakan (comfort, auto, dynamic, efficiency, allroad, offroad, mod RS1 dan RS2 yang boleh disuaikan).
 

Audi


Secara standard, Audi RS Q8 ini dilengkapi dengan rim aluminium bersaiz 23 inci dengan sistem brek RS yang terdiri daripada angkup brek merah dan rotor komposit berliang bersaiz 420 mm di depan dan 370 mm di belakang.

Selain daripada kit badan sporti, Audi RS Q8 ini turut mendapat unit lampu utama RD HD Matrix LED, lampu belakang LED, serta lampu isyarat membelok dinamik.

Ruang kabin Audi RS Q8 ini menampilkan ciri seperti paparan MMI touch response, paparan khas RS di dalam Audi virtual cockpit, paparan info penting seperti tekanan tayar, daya kilas, kuasa, suhu, catatan masa dan daya-G, serta grafik khas RS pada paparan head-up.
 

Audi


Tempat duduk sports RS dibaluti dengan kulit Valcona dengan jahitan sarang lebah, diikuti dengan fungsi ventilasi dan urutan.

Bahagian dalam juga turut dihiasi dengan elemen RS seperti logo pada roda stereng dan kemasan pintu sisi beriluminasi, sementara tombol gear dan perehat tangan pada pintu pula menggunakan bahan kulit Nappa.

Tidak ketinggalan, ruang kargo sebesar 1,755 liter yang boleh dicapai apabila tempat duduk baris kedua dilipat ke bawah.
 

Audi


Antara ciri keselamatan yang wujud pada Audi RS Q8 termasuklah kawalan jelajah adaptif, sistem kamera keliling 360 darjah, amaran penukaran lorong, bantuan lintasan trafik hadapan, sistem pemantauan tekanan tayar, Audi pre sense depan dan belakang serta lapan beg udara.

Terdapat sehingga sembilan pilihan warna untuk Audi RS Q8 tidak termasuk 11 warna Audi Exclusive.

Harga jualan bermula dari RM1,699,990 dan hadir dengan pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, serta jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Model Audi RS Q8 ini boleh ditempah di semua Audi Centre di Setia Alam, Glenmarie dan Juru.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut dokumen National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), masalah tersebut dikatakan…
Berita Global
Jadi, untuk golongan yang tidak memerlukan supercar, SUV seperti Audi RS Q8 talaan Wheelsandmore…
Berita Global
Bagi mereka yang terlepas pandang, awal bulan lalu Audi telah memecahkan rekod terbaharu SUV…