Audi RS6 Legacy Edition oleh ABT, wagon berkuasa 750 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Firma penala ABT yang sangat sinonim dengan kenderaan berprestasi tinggi daripada Volkswagen Group kini membawakan sebuah model baharu, iaitu Audi RS6 Legacy Edition.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hanya 200 unit sahaja yang dihasilkan, di mana kesemua unit tersebut menggunakan asas daripada model Audi RS6 Performance pasaran Eropah yang mampu menghasilkan kuasa 621 hp dan daya kilas 850 Nm.
 

RS6


Dengan modifikasi seperti unit pengecas turbo, intercooler dan perisian Power R serba baharu, Audi RS6 Legacy Edition itu kini beruapaya menjana kuasa setinggi 750 hp dan 980 Nm.

Rupa paras Audi RS6 yang serba agresif itu telah dikemaskan dengan empat tip ekzos berdiameter 102 mm, rim tempa bersaiz 22 inci, perumah cermin sisi, penambahan skirt hadapan gentian karbon, serta jeriji kemasukan yang telah diubah untuk aliran udara yang lebih baik.
 

RS6


Hud enjin turut diberikan liang udara gentian karbon bagi mengalirkan udara panas keluar daripada ruang tersebut.

Bahagian belakang pula menempatkan spoiler bumbung, sebelum dikemaskan dengan diffuser RS6-LE pada bahagian bampar.

Aspek pemanduan dibantu dengan penggunaan sistem spring gegelung ABT.
 

RS6


Kemasan ruang kabin RS6 Legacy Edition ini terdiri daripada fabrik Dinamica pada bahagian papan pemuka, trim kerangka tempat duduk, paddle shifter serta trim panel pintu, diikuti dengan roda stereng balutan Alcantara, serta logo RS6-LE pada bahagian tempat duduk dan alas lantai.

ABT meletakkan harga jualan RS6 Legacy Edition ini bermula dari 102,600 euro (RM502,883) dan kos pemasangan 11,462.08 euro (RM56,180), namun tidak dinyatakan sama ada harga tersebut tertakluk untuk sebuah kereta projek yang lengkap atau pembeli sendiri perlu menyediakan kenderaan penderma.
 

RS6


Jangka hayat Audi RS6 sebagai sebuah wagon pantas berenjin pembakaran dalaman dijangka akan berakhir selepas ia digantikan dengan model wagon berkuasa elektrik sepenuhnya iaitu Audi RS6 E-Tron yang dibangun menggunakan senibina Premium Platform Electric.