Audi S3 2021 dilancarkan - sedan dan Sportback, 306 hp, 400 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Di bawah Audi Sport, divisyen tersebut telah pun melancarkan secara rasmi dua buah model baharu S3 dalam bentuk Sedan dan Sportback, dan bakal diposisikan sebagai model paling berkuasa di dalam keluarga 3 Audi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Sebagai model yang berkuasa, Audi S3 Sedan dan Sportback ini dilengkapi dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dengan angka output sekitar 306 hp dan 400 Nm. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda quattro menerusi transmisi S tronic tujuh nisbah kelajuan. 
 


Kuasa pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j yang dihadkan secara elektronik. 

Membezakannya dengan model biasa adalah kehadiran sistem stereng progresif dan sistem suspensi four-link di belakang yang telah ditala semula, membolehkan ia duduk lebih rendah 15 mm berbanding A3 standard. 

Audi turut menyediakan opsyen pemasangan sistem suspensi sport S dengan kawalan peredam yang mampu meningkatkan keselesaan dan dinamik pemanduan 

Sistem pemberhentian pula menampilkan ciri brake booster elektrik baharu serta cakera berliang pada keempat-empat roda. 

 


Dari segi luaran, ia menampilkan rekaan gril Singleframe dengan corak rhombus yang besar dan tampak lebih agresif, diffuser belakang, empat tip ekzos dan lampu belakang yang digelapkan.

Penampilan S3 Sedan dan Sportback ini dimeriahkan dengan pemasangan skirt sisi, emblem, serta rim standard 18 inci (atau opsyen 19 inci). 
 


Memasuki ruang kabin, pemilik akan disambut dengan rekaan papan pemuka yang berorientasikan pemandu yang merangkumi tempat duduk sports baharu, roda stereng jenis bawah rata, sistem paparan head-up, serta kluster instrumen digital. 

Antara kelengkapan lain termasuklah sistem audio premium Bang & Olufsen, ciri pencahayaan ambien, Audi connect key, serta kemasan rekaan gentian karbon atau aluminium. 

Aspek keselamatan turut didatangkan dengan ciri seperti amaran keluar laluan, bantuan membelok, bantuan penukaran laluan, amaran keluar, amaran lintasan trafik serta sistem bantuan parkir. 
 


Untuk para pembeli di Eropah, ia akan mula dijual seawal Oktober ini dengan harga jualan dari €46,302.53 (RM228,927) untuk S3 Sportback dan €47,179.83 (RM223,265) untuk versi sedan. 

Namun, untuk tempoh terhad, Audi turut menawarkan S3 Edition One yang menambah aksesori seperti rim 19 inci, kemasan hitam, upholsteri kulit Nappa serta layangan warna Phython Yellow (Sportback) atau Tango Red (Sedan). 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Di antara sedan dan hatchback berprestasi ialah Audi S3 Saloon dan Sportback yang kini berada…