Audi S8 ABT - super sedan 700 PS, 0-100 km/j dalam 3.4 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Generasi terkini Audi S8, jika dilihat daripada spesifikasi standard kilang, ia memang bukan calang-calang sedan, malah prestasinya juga mampu mengalahkan pecutan kereta sports dan supercar ternama.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Enjin asal 4.0 liter bentangan V8 turbo berkembar dengan bersahaja mampu menghamburkan kuasa 563 hp dan 800 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Ini menjadikan pecutan Audi S8 jauh lebih pantas berbanding Porsche 911 Carrera yang perlu memecut 4.2 saat sebelum mencapai 100 km/j.

 


Namun, bagi mereka yang masih belum berpuas hati dengan pecutan sepantas itu, anda perlu merujuk kepada ABT untuk mendapatkan sentuhan magik mereka.

Ini kerana dengan talaan yang betul, sebuah Audi S8 boleh melonjakkan kuasa sedia ada kepada angka 700 PS (690 hp) dan 880 Nm, serta pecutan sepantas 3.4 saat!

 


Sedan yang pantas memerlukan kuasa pemberhentian yang lebih berkesan, jadi ABT Sportsline telah melengkapkan sedan Audi S8 ini dengan brek seramik.

Oleh kerana rupa luaran Audi S8 ini sudah cukup sporti, ia tidak memerlukan kehadiran kit badan menembak langit membelah bumi seperti sesetengah sedan Jepun yang berkeliaran atas jalan raya Malaysia.

 


Cukup dengan pemasangan spoiler gentian karbon, set rim ABT GR atau FR bersaiz 20 dan 21 inci dan ia kini sebuah sedan yang cukup jahat untuk menakutkan geng-geng berlagak laju itu tadi.