August 6th - Selamat Menyambut Hari 86 Sedunia!

oleh Mohamad Hanif|
Nama ikonik Toyota Corolla AE86 mungkin sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, memandangkan kereta lagenda ini sudah pun mencapai status harga mampu lihat jika sekali sekala kita memeriksa laman web kereta terpakai.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Resipi Toyota untuk kereta sports Corolla ini cukup mudah - enjin hadapan, pacuan roda belakang (front engine, rear wheel drive - FR),  nisbah pembahagian berat hampir 50-50, dan enjin 4A-GE yang memiliki nada merdu apabila dikerah.

Tatkala trend industri pada ketika itu sudah pun beralih kepada kereta pacuan roda hadapan, Toyota Corolla AE86 dihasilkan sebagai model Corolla terakhir yang menggunakan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD).

 


Nama AE86 itu sendiri sebenarnya merupakan kod dalaman yang digunakan oleh Toyota bagi membezakan setiap model di mana:
A - siri enjin yang digunakan (4A-GE)
E - kod designasi untuk Corolla
8 - kod generasi Corolla (E80)
6 - varian Corolla generasi yang disebutkan

Namun, bagi sesetengah orang, AE86 lebih mudah disebut sebagai Hachiroku (dalam bahasa Jepun, Hachi - 8, Roku - 6), mengambil dua nombor terakhir daripada kod AE86 itu.

Salah seorang staff yang bertanggungjawab terhadap pembangunan Toyota AE86 ini adalah Nobuaki Katayama yang kemudian bertanggungjawab terhadap pembangunan kereta sports Toyota seperti Toyota Supra JZA80, Toyota Altezza dan generasi pertama Lexus SC.

Berdasarkan kisah yang diwarisi, Nobuaki dikatakan memiliki sebuah foto AE86 yang digantung di pejabatnya.
 

4A-GE


Nadi yang digunakan pada AE86 adalah enjin 1.6 liter aspirasi natural DOHC 4A-GE bersesaran 1,587 cc yang menghasilkan 128 hp dan 149 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi manual.

Angka output tersebut mungkin nampak biasa, namun apabila digandingkan dengan berat kereta sekitar 998 kg, kombinasi itu menjadikan AE86 sebuah kereta yang seronok untuk dipandu.

Sebelum terlupa, enjin itu juga turut didatangkan dengan teknologi T-VIS, atau nama panjangnya Toyota Variable Intake System, ciri yang direka untuk meningkatkan prestasi low-end enjin berbilang injap.

 



Namun, perkara yang paling menarik hadir dalam pakej enjin 4A-GE ini adalah ngauman merdu yang terhasil tatkala enjin dikerah menghampiri putaran enjin tertinggi.

Disebabkan enjin ini tahan lasak, senang untuk ditala dan kos yang rendah, 4A-GE kerap menjadi pilihan para pelumba professional dan amatur, di mana enjin 4A-GE yang ikonik pernah didengari adalah yang digunakan di Formula Atlantik dengan output 242 kuasa kuda pada putaran enjin 10,000 rpm!

 

AE86 lahir di zaman 'terlalu banyak bentuk badan dihasilkan'


Toyota Corolla pada zaman itu hadir dalam pelbagai jenis bentuk badan seperti sedan empat pintu, coupe dua pintu, coupe fastback, wagon, dan juga hatchback.

Model AE86 hanya dihadkan kepada dua bentuk badan sahaja, iaitu hatchback tiga pintu atau coupe dua pintu (dikenali sebagai notchback), dengan dua varian berbeza iaitu Sprinter Trueno (lampu retractable) dan Corolla Levin (lampu petak kekal).

Di Jepun, Toyota AE86 ditawarkan dalam trim GT, GT-APEX dan GTV untuk kedua-dua versi Trueno dan Levin, serta enjin 4A-GE tadi.

 


Namun, versi yang lebih murah dikenali sebagai AE85 yang hadir dalam bentuk yang serupa, akan tetapi dengan enjin yang lebih ringkas, 3A-U SOHC 1.5 liter empat silinder sebaris yang menghasilkan 84 PS.

Jika anda peminat siri animasi Initial D, sudah pasti anda teringat kisah Itsuki yang tersalah beli sebuah AE85 kerana menyangka kereta tersebut adalah sebuah AE86 yang sama seperti watak utama Fujiwara Takumi...

Walaupun spesifikasinya tak segah AE86, AE85 sebenarnya masih menjadi pilihan kepada pasukan pelumba yang mahukan opsyen casis yang lebih murah dan enjin asal telah ditukar kepada enjin baharu untuk peningkatan kuasa yang lebih ketara.
 

AE86 popular dalam apa jua disiplin perlumbaan


Agaknya kalau bukan kerana sukan drift yang dipopularkan oleh atuk Keiichi Tsuchiya dan animasi Initial D, orang akan menganggap AE86 sebagai sebuah kereta yang dikhususkan untuk drift semata-mata.

Ini kerana casis Corolla pacuan roda belakang ini sebenarnya turut menjadi pilihan dalam pelbagai disiplin sukan perlumbaan seperti rali, perlumbaan touring car Group A, Group N, dan juga European Touring Car Championship.

Disebabkan konfigurasi pacuan roda belakang, berat badan yang ringan, dan mudah untuk ditala, AE86 juga sebenarnya turut menjadi pilihan para pelumba drift professional ketika awal karier mereka seperti Katsuhiro Ueo, Toshiki Yoshioka, Yoichi Imamura dan lain-lain.
 

Popular disebabkan siri animasi Initial D


Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, minat terhadap model AE86 ini sebenarnya lahir semenjak penulis menikmati siri animasi Initial D ketika zaman persekolahan suatu ketika dahulu.

Apatah lagi di dalam siri tersebut, Toyota Corolla Sprinter Trueno AE86 yang digunakan oleh watak utama mempamerkan teknik pemanduan drift di jalan-jalan gunung ketika berlumba, ataupun selepas selesai tugas menghantar stok tofu yang dibuat oleh bapanya.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa siri animasi Initial D ini sebenarnya menerima khidmat nasihat daripada pelopor teknik drift, atau Drift King itu sendiri, Keiichi Tsuchiya!

 


Di dalam siri itu juga, pelbagai variasi AE86 diperlihatkan seperti:

  • Sprinter Trueno hatchback (dipandu oleh Takumi Fujiwara)
  • Corolla Levin hatchback - 4A-GE dengan turbo Blitz sebelum digantikan dengan enjin pengecas lampau 4A-GZE (dipandu oleh Wataru Akiyama)
  • Sprinter Trueno notchback (dipandu oleh Shinji Inui)

 

Semangat 86 terus membara


Ketika pengenalan model kereta sports era baharu Toyota GT86 bersama kembarnya Subaru BRZ, tidak kurang juga yang sangsi akan keupayaan yang dibawakan oleh model tersebut.

Namun, secara asasnya, Toyota 86 banyak mengambil inspirasi daripada kereta sports AE86 dengan penggunaan konfigurasi pacuan roda belakang, enjin di hadapan, serta pembahagian berat badan depan dan belakang 53/47.

Malah penggunaan angka 86 itu sendiri sebenarnya merupakan satu penghormatan, dan rujukan bersejarah terhadap kereta sports coupe Toyota Corolla AE86 yang dihasilkan dari tahun 1983 sehingga 1987.

 

Hari 86 Sedunia


Tanggal 6 Ogos mungkin merupakan sebuah lagi hari biasa bagi kebanyakan orang, namun untuk komuniti automotif di luar sana, 6 Ogos diiktiraf sebagai Hari 86 Sedunia.

Kenapa 6 Ogos?

Sebab mengikut format tarikh di Jepun (dan sesetengah tempat di dunia), mereka membaca tarikh dimulakan dengan tahun dan bulan terlebih dahulu diikuti dengan hari, seperti contoh 6 Ogos 2020 di baca sebagai 2020年86日.

Jadi, August 6th (8月6日) dilihat menyerupai angka yang terdapat pada AE86, jadi ia telah dipilih sebagai tarikh yang sesuai bagi menyambut Hari 86 Sedunia.

Jika anda mengikuti perkembangan laman web automotif terkemuka seperti Speedhunters, anda akan melihat para pemilik Toyota Corolla AE86 berkumpul di lokasi tertentu (paling popular di Jepun adalah Daikoku PA) sambil memperagakan pelbagai jenis dan modifikasi terhadap Corolla pacuan roda belakang itu.

Sebelum terlupa, Selamat Menyambut Hari 86 Sedunia!

 

'the little Hachi that could' - Keiichi Tsuchiya