Aurus Komendant - pencabar Bentayga, Cullinan dari Rusia sudah muncul

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang tak tahu, Aurus merupakan satu jenama automotif yang lahir dari negara Rusia yang sebelum ini pernah tampil dengan model sedan yang diinspirasikan daripada Rolls-Royce, iaitu Aurus Senat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selari dengan arus perdana di mana permintaan terhadap SUV semakin meningkat, Aurus kini memperlihatkan model SUV mewah yang digelar sebagai Komendant.
 

Aurus


Sekilas pandang, ia banyak membawakan persamaan dengan rekaan paten yang terdedah dua tahun yang lalu, dengan elemen Rolls-Royce seperti rekaan jeriji besar, lampu LED yang ringkas bentuknya serta liang kemasukan udara pada bahagian bawah bampar.

Pendekatan yang sama turut dibawakan pada bahagian belakang dengan unit lampu LED, tip ekzos berbentuk petak, pintu tailgate berkuasa dan dikemaskan dengan pemasangan rim bersaiz 22 inci pada keempat-empat sudut.

Dari segi dimensi, Komendant mempunyai ukuran sepanjang 5,380 mm, lebar 2,004 mm, tinggi 1,820 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,100 mm.
 

Aurus


Jika dibuat perbandingan, Komendant mempunyai saiz yang lebih panjang berbanding Cullinan, namun dengan jarak antara roda 195 mm lebih pendek.

Aurus Komendant membawakan nadi kuasa 4.4 liter bentangan V8 turbo berkembar hibrid yang mampu menjana kuasa setinggi 590 hp dan daya kilas 880 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda standard.

Ia mampu memecut sepantas 6.5 saat dari pegun ke 100 km/j, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 220 km/j.

Bacaan penggunaan bahan api tidak begitu menjimatkan untuk sebuah SUV hibrid, dengan nilai gandingan 18.5 liter untuk setiap 100 km.
 

Aurus


Rekaan dan susun atur ruang kabin Aurus Komendant terdiri daripada skrin kluster digital, skrin infotainmen jenis lebar, jam analog, sistem kawalan iklim empat zon, sistem pencahayaan ambien, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar di depan dan belakang.

Pembeli boleh mendapatkan ruangan yang elegan terima kasih kepada balutan kulit Nappa, aksen metalik, serta trim kayu Popular Black, Silver Birch Burl atau Dark Brown Ash.

Tempat duduk baris kedua pula hanya boleh memuatkan dua orang sahaja, di mana setiap satu tempat duduk dilengkapi dengan fungsi urut, ventilasi dan juga pemanasan.
 

Aurus


Konsol tengah yang memisahkan kedua-dua bahagian tersebut menampilkan ciri seperti meja boleh lipat, serta ruang penyimpanan sejuk.

Sama seperti model-model SUV mewah di dalam dunia, Aurus juga turut menawarkan pakej penyesuaian khusus di mana pembeli boleh memilih warna cat bespoke, kemasan plet ambang pintu, sulaman pada tempat perehat kepala, serta tidak ketinggalan kemasan venir dan trim yang unik bergantung kepada tahap kedalaman poket masing-masing.

Harga untuk sebuah Aurus Komendant bermula dari 33.7 juta Rubles (RM2.66 juta).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Aurus Komendant merupakan sebuah SUV mewah bersaiz penuh, dibangunkan daripada pelantar Unified…