Model ini dibangunkan berasaskan konsep Adventure Touring Crossover, iaitu gabungan karakter skuter maxi dengan elemen touring serta kemampuan pengembaraan ringan.
Dengan pendekatan tersebut, Vanguard 250 bukan sahaja sesuai digunakan untuk perjalanan harian di bandar, malah turut menawarkan keselesaan ketika tunggangan jarak jauh di lebuh raya.
Dari segi reka bentuk, Vanguard 250 V2 mengekalkan gaya badan yang tegap dan moden dengan posisi tunggangan yang lebih santai.
Versi kali ini, ia ditawarkan dalam dua pilihan warna baharu iaitu Desert Bronze dan Nano Green, yang memberikan imej lebih premium serta berkarakter.
Bagi versi terbaharu ini, Aveta turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan penting yang memberi tumpuan kepada aspek keselesaan, teknologi serta kawalan tunggangan. Antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuk:
- Paparan TFT digital 7 inci dengan fungsi sentuhan untuk akses maklumat tunggangan yang lebih jelas dan mudah.
- Cermin hadapan boleh laras secara elektronik, membolehkan penunggang menyesuaikan tahap perlindungan angin.
- Reka bentuk suis kawalan baharu pada handlebar yang lebih intuitif dan mudah digunakan.
- Pelindung ekzos dipanjangkan bagi memberikan perlindungan haba yang lebih baik kepada pembonceng.
- Penutup enjin baharu yang memudahkan proses penyelenggaraan.
- Reka bentuk tapak kaki pembonceng dipertingkatkan untuk keselesaan tambahan ketika perjalanan jauh.
- Ruang simpanan bawah tempat duduk dipertingkatkan, kini mampu memuatkan helmet jenis full-face.
- Reka bentuk tempat duduk baharu yang memberi sokongan lebih baik untuk tunggangan jarak jauh.
- Penyerap hentak belakang boleh laras, membolehkan pelarasan mengikut berat penunggang atau beban.
- Sistem ABS dan Traction Control (TCS) boleh ditutup, memberikan fleksibiliti tambahan bergantung kepada situasi tunggangan.
Dari segi prestasi, Vanguard 250 V2 dikuasakan oleh enjin single-cylinder 244cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair, yang dipadankan dengan transmisi CVT belt drive.
Enjin ini menghasilkan kuasa sekitar 24.8 hp pada 8,500 rpm serta tork maksimum 22.5 Nm pada 6,500 rpm, sekali gus memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api.
Melihat kepada dimensi keseluruhan, skuter ini mempunyai ukuran sekitar 2,210 mm panjang, 790 mm lebar dan 1,345 mm tinggi, dengan jarak roda 1,535 mm. Ketinggian tempat duduk pula berada pada paras 795 mm, menjadikannya masih mesra untuk kebanyakan penunggang.
Vanguard 250 juga mempunyai kelegaan tanah sekitar 160 mm, sesuai untuk menempuh permukaan jalan yang tidak rata.
Selain itu, model ini turut dilengkapi beberapa ciri praktikal seperti sistem keyless, port USB Type-A dan Type-C, serta sistem pencahayaan LED bagi meningkatkan tahap kemudahan penggunaan harian.
Secara keseluruhannya, Aveta Vanguard 250 V2 menawarkan pakej yang lengkap dalam segmen skuter 250cc, dengan gabungan prestasi enjin, keselesaan touring serta ciri teknologi moden.
Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan pada harga bermula RM16,998, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.