Jenama DJI lebih sinonim dengan peranti gimbal dan dron telah hadir dengan sebuah produk kamera aksi yang disasarkan bersaing dengan GoPro Hero 7 Black.
DJI Osmo Action merupakan cubaan DJI untuk memberikan lebih pilihan kepada para peminat aksi dan sukan lasak dengan keupayaan rakaman 4K HDR, skrin berkembar, rakaman gerak perlahan, time-lapse dan banyak lagi.
Tunjang utama kepada kamera aksi ini sudah tentu lensa yang dilengkapi dengan sensor 12 Megapiksel yang mampu merakam video kualiti 4K, serta rakaman gerak perlahan pada kadar 120fps (frame per second) dan 240fps.
Yang penting, bateri 1,300 mAh yang boleh ditanggalkan ini mampu memberikan masa rakaman sehingga 63 minit jika pengguna memilih kualiti rakaman 4K @ 60fps dan ciri penstabilan RockSteady diaktifkan.
Harga jualan pula bermula dari US$349 (RM1,457++), dan setakat ini tidak diketahui bilakah kamera aksi ini bakal menyerang pasaran Malaysia.
Sumber: DJI