Bagaimana BYD hasilkan sedan sport walhal ia jenama baru? Ini rahsianya!

oleh HEZERI SAMSURI|
Jika dikirakan dari segi usia, syarikat BYD Auto hanya muncul dalam tahun 2003. usia 20 tahun di dalam industri automotif masih boleh dikatakan muda dan kurang berpengalaman.

Jadi bagaimana BYD mampu menghasilkan model seperti Han atau Seal yang dikatakan sporti itu?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Penulis menghabiskan sehari suntuk di Litar Antarabangsa Zhuhai untuk merasai sendiri sedan sporti dari siri Ocean itu dan sememangnya, cukup menarik dan dengan prestasi pecutan pantas dari sistem EV, ia akan membuatkan kereta-kereta "lagenda" dengan enjin tradisional berpeluh di dahi.

Wawancara bersama dengan ketua produk BYD bagi projek Seal semalam merungkai beberapa rahsia menarik bagaimana BYD, sebuah jenama muda, mampu menghasilkan sebuah EV yang berat dengan bateri yang besar menjadi sebuah sedan 4-pintu yang seronok dipandu.
 

 

Nisbah dimensi kerangka yang sporti

BYD Seal mempunyai jarak roda (wheelbase) dan panjang keseluruhan di antara BMW 3-Series F30 dan BMW 5-Series G30.

Namun begitu, Seal lebih lebar dari 3-Series dan rendah dari BMW 3-Series Gran Turismo F34.

Ia juga mempunyai ukuran "overhang" hadapan dan belakang (jarak antara roda dan hujung bamper) yang cukup pendek, bagi memberikan efek visual kompak, rendah, panjang dan sporti.

Nisbah pembahagian beban juga lebih sempurna kerana EV tidak mempunyai enjin di hadapan. Untuk Seal, BYD mencapai imbangan berat 50 peratus untuk gandar hadapan dan belakang!

Akhir sekali, BYD Seal mempunyai kadar seretan aerodinamik serendah 0.219 Cd, lebih baik dari kebanyakan sedan sporti Jerman sebenarnya!
 

 

Bateri sebahagian dari struktur rangka

BYD tidak mengharapkan bateri dari syarikat lain. Ini membolehkan mereka menghasilkan teknologi bateri mengikut spesifikasi mereka dan bateri Blade dari BYD memang terbukti lebih selamat hinggakan Tesla sendiri mahu menggunakannya.

Yang ramai tidak tahu, struktur aluminium honeycomb yang digunakan menjadikan ia satu bateri yang kukuh. Ini penting untuk pelanggaran sisi dan ia juga mampu dijadikan sebahagian dari struktur rangka Seal.

Kemudian, cara bateri diletakkan di dalam kerangka juga adalah satu teknologi yang dibangunkan oleh BYD sendiri. 

Teknologi Cell To Body atau CTB menggabungkan bateri itu ke dalam lantai kerangka itu sendiri, bukannya diletakkan di bawah atau di atas kerangka.

Ia menjadikan titik pusat graviti lebih rapat ke bumi, mengurangkan daya intertia kerana ia bukan "beban" kepada struktur utama dan paling penting, kita tidak rasa lantai BYD ini tinggi.

Dan ya, ia menjadikan Seal dan Han sedan yang sporti kerana kerangka yang jauh lebih tegap dan kurang meliuk.

 

 

Kawalan daya kilas iTAQ yang pintar

Ya, sebuah EV mampu menghasilkan daya kilas maksimum pada RPM sifar. Dalam erti kata lain, anda boleh merasai tenaga maksimum dari saat anda menekan pedal ke lantai.

Ini menyeronokkan jika anda seorang yang hanya memandu laju di laluan lurus.

Untuk pemandu sejati, selekoh adalah antara pengalaman yang sangat menarik dan jika pendikit terlalu sensitif, atau hantaran tenaga terlalu agresif, skil pemanduan tahap dewa pun tidak akan dapat membantu anda dari menjadikan kereta dan tubuh badan anda bercantum dengan pembahagi jalan dalam bentuk gumpalan besi, plastik dan daging.

 

 

Kawalan hantaran tenaga adalah satu perkara penting dalam pemanduan berkelajuan tinggi dan BYD menggunakan teknologi iTAC atau Intelligent Torque Distribution Control bagi menjamin keselamatan anda, tanpa terlalu membataskan operasi sehingga menjadi terlalu klinikal atau bosan.

Beza iTAC dengan Stability Control biasa ialah iTAC mengambil bacaan bukan dari roda atau transmisi, tetapi dari motor elektrik itu sendiri.

Kemudian, modul kawalan iTAC bertindak untuk mengawal output tenaga terus dari sumber, iaitu motor elektrik yang kemudian dihantar ke roda-roda berkenaan.

Hasilnya, walaupun Seal mempunyai daya kilas setinggi 670 Nm, penulis masih mampu mengawal kenderaan itu di atas litar, dalam kelajuan dan pecutan tinggi, dengan menggunakan tayar "Eco" untuk keluar selekoh, ketika HUJAN LEBAT.
 

 

Sifu Mercedes-Benz, Hans Keck kini di BYD

Ini boleh dikatakan antara rahsia sebenar bagaimana BYD mampu menghasilkan kenderaan-kenderaan yang sedap atau selesa dipandu.

Hans Keck, seorang jurutera kerangka automotif dari Jerman mempunyai pengalaman bekerja dengan Daimler Group selama lebih 20 tahun.

Beliau bertanggung-jawab untuk banyak model-model Mercedes-Benz dan juga smart. 

Hans mula terbabit dengan BYD bila beliau diberi tanggung-jawab untuk projek kerjasama antara Mercedes-Benz dan BYD bagi projek EV Tengshi.

Dalam tahun 2016, Hans secara rasmi menyertai BYD sebagai ketua pakar penalaan kerangka (chief chassis tuning expert) dan beliau mengetuai projek-projek generasi baharu produk BYD seperti, Seal.

 

 

 

Antara perkara yang dititik beratkan oleh Hans ialah pemilihan tayar seawal pembangunan projek tersebut dan semasa penalaan kerangka prototaip.

Penalaan itu sendiri memakan masa enam bulan dan BYD bekerjasama dengan pembekal tayar untuk menghasilkan tayar-tayar yang sesuai (bermakna, pemilihan tayar yang berlainan akan menjadikan pengendalian berbeza!).

Hans juga memastikan BYD melabur dalam pembelian kelengkapan-kelengkapan ujian yang canggih untuk mendapatkan data pengendalian kenderaan yang tepat.

Ini membantu pasukan di bawah seliaan Hans untuk menala komponen sistem gantungan seperti peredam dan penyerap hentak.

 

 

Menurut Syammim Noori Arifin, pakar runding kejuruteraan dan penalaan pengendalian automotif bebas yang pernah bertugas untuk projek-projek syarikat kenderaan global seperti Porsche, Hans ialah seorang jurutera berpengalaman yang sangat teliti akan kerjanya.

"Beliau akan memeriksa satu persatu komponen dan keputusan yang dicapai sebelum meluluskannya. Setiap satu komponen dalam sistem gantungan itu akan diperiksa dan dikaji oleh Hans. 

Ini termasuk spring, anti roll-bar, tayar, damper, kalibrasi stereng dan pelbagai lagi!" ujar Syammim yang pernah berurusan dengan Hans beberapa kali.

 

 

Pembuatan sebuah kenderaan adalah satu proses yang rumit, di mana puluhan ribu komponen perlu bekerjasama dengan baik untuk menghasilkan produk yang selamat dan lasak.

Penalaan sistem gantungan pula ialah satu urusan kejuruteraan yang kompleks, di mana ia juga memerlukan kepakaran yang hanya mampu diperolehi dari pengalaman.

Kerana itu artikel ini ditulis kerana "Ride and Handling" bukan semudah memasang "adjustable suspension" dan mengikat bar-bar putih sahaja.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia sebagai meraikan perkongsian BYD sebagai rakan kongsi rasmi UEFA EURO 2024™. Bagi pelanggan…
Berita Global
BYD menjual sebanyak 526,409 unit kenderaan dalam tiga bulan terakhir 2023, berbanding dengan 300,…
Berita Global
Menurut Brian Gu, Presiden dan Naib Pengerusi untuk Xpeng Motors, teknologi pemanduan pintar (smart…